Selasa, 2 Oktober 2018 | 6:03pm

CIMB perkenal QR e-dompet

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) memperkenalkan kaedah Penerimaan Pembayaran Maklum Balas Pantas (QR), di terminal CIMB, iaitu yang pertama dalam pasaran yang menerima enam e-dompet utama bagi satu terminal.

Enam dompet mudah alih yang boleh diterima di terminal CIMB itu ialah Alipay, Touch & Go Digital, Boost, KiplePay, Mcash dan Vcash yang mempunyai anggaran asas pelanggan kira-kira 4.5 juta di Malaysia dan 520 juta pengguna berdaftar di China.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna, Kumpulan CIMB, Samir Gupta, berkata dengan trend pembayaran mudah alih, penerimaan pembayaran alternatif itu menyediakan kemudahan kepada pedagang dan pelanggan tanpa perlu menimbulkan kebimbangan dengan kod QR berbeza.

Beliau berkata, kaedah itu membolehkan pedagang dan pengguna dapat meningkatkan pengalaman penggunaan yang lebih baik serta memberikan pilihan yang lebih banyak kepada orang ramai.

"CIMB sentiasa meletakkan pelanggan dan pedagang sebagai tumpuan utama dalam inovasi digital dan Penerimaan Pembayaran QR ini di terminal CIMB bagi memenuhi kehendak semua pihak dengan enam dompet mudah alih utama ini.

"Malah, dengan sokongan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mempromosikan komuniti tanpa tunai, inisiatif ini dapat membangunkan ekosistem pembayaran seumpama ini di Malaysia.

"Ia juga adalah bukti kepada janji kami bagi menyampaikan penyelesaian berinovasi yang berterusan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asean," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

CIMB bekerjasama dengan GHL Systems Bhd, peneraju syarikat pembayaran di Malaysia dan Asean bagi memperkenalkan terminal penerimaan pembayaran QR bagi kemudahan untuk kedua-dua pedagang dan pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GHL Group, Danny Leong, berkata pihaknya teruja bagi membolehkan pedagang CIMB untuk memproses pelbagai kod QR bagi fasiliti pembayaran tunggal unik menerusi GHL.

Menurut BNM, pada tahun lalu, e-pembayaran per kapita adalah RM111 setiap tahun di Malaysia dan pada 2020, angka ini dijangka meningkat kepada RM200 per kapita setiap tahun yang mana ia membuktikan potensi pertumbuhan besar bagi segmen ini.

Selain itu, enam dompet mudah alih itu kini sudah mula diterima menerusi pembayaran QR di beberapa kedai seperti House of Leather, NSK dan Super Seven. Lebih banyak pedagang dijangka menyertai fasiliti ini seperti Tesco, Boost Juice, Maslee, Sunshine dan Pusat Pakaian Hari-Hari.

26 dibaca
Berita Harian X