Selasa, 2 Oktober 2018 | 5:17pm
SEAN Goh (kiri) bersama Ooi Huey Tyng (tengah) dan Anwar Syahrin pada majlis pengumuman kerjasama antara UEM Sunrise dan Grab Malaysia di Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

UEM Sunrise jalin kerjasama dengan Grab Malaysia

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), pemaju hartanah terkemuka negara sedang mengkaji impak pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan sama ada ia mampu atau tidak mengurangkan harga hartanahnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata jika dilihat daripada aspek kos, masih banyak lagi kos lain yang perlu ditanggung syarikat pemaju hartanah termasuk caj pembangunan, kos tanah dan peningkatan kos premium.

"Kesemua kos ini menyumbang kepada harga jualan. Jika kami dapat meraih penjimatan dari SST, sudah tentu kami mahu salurkannya kepada pengguna namun kami perlu melihat kepada kos.

"Sebagai contoh, caj pembangunan boleh naik sehingga 25 peratus dan ini akan membawa kepada peningkatan harga rumah,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama antara UEM Sunrise dan Grab Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh dan Pengarah Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina, Ooi Huey Tyng.

Baru-baru ini, kerajaan memberi amaran untuk menarik balik langkah pengecualian SST sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan bahan binaan jika pemaju perumahan tidak menurunkan harga rumah.

Sementara itu, UEM Sunrise menjalinkan kerjasama strategik dengan Grab Malaysia bagi memperluas penggunaan perkhidmatan transaksi tanpa tunai bagi pengangkutan, makanan dan beli-belah di Publika, Mont Kiara dan Iskandar Puteri, Johor.

Melalui kerjasama itu, Grab Malaysia akan menawarkan perkhidmatan penuh kepada orang ramai di kawasan terbabit melalui GrabFood dan GrabPay bagi lebih memberi manfaat kepada peruncit dan mengubah pengalaman beli-belah dan menjamu selera untuk pelanggan.

Anwar Syahrin berkata, pihaknya komited memainkan peranan sebagai syarikat pemaju hartanah bagi memastikan pembangunan perbandarannya dapat memenuhi keperluan penyewa, pelanggan dan komuniti yang memilih projek mereka sebagai rumah atau premis perniagaan masing-masing.

"Kami perlu memulakan langkah seperti ini dengan mewujudkan ekosistem melalui inisiatif digital bagi memberi nilai tambah kepada orang ramai, penduduk, pengunjung dan komuniti di kawasan ini," katanya.

Pada masa ini, kerjasama antara UEM Sunrise dan Grab Malaysia itu hanya membabitkan perkhidmatan penuh Grab di galeri beli-belah Publika di mana beberapa peniaga di sana sudah menggunakan platform GrabFood dan GrabPay seperti restoran Plan B, Baskin Robbins dan Tealive.

“Kami sangat teruja menjadi syarikat hartanah pertama yang bekerjasama dengan Grab di mana perkhidmatan mereka ini akan diperluaskan di Iskandar Puteri pada masa depan terutama di pusat beli-belah dan komersial," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X