Isnin, 1 Oktober 2018 | 8:37pm
WILLIAM Hon.

Anak syarikat Bioalpha ambil alih kepentingan dalam North West

bioalpha//

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Bioalpha Holdings Bhd, Bioalpha International Sdn Bhd, telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan North West Enterprise Sdn Bhd bagi mengambil alih kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan William Hon berkata cadangan pengambilalihan itu membawa faedah sinergi yang cukup tinggi, akan membolehkan kedua-dua pihak berkongsi keupayaan masing-masing bagi mempercepatkan pengembangan.

“North West akan membolehkan kami meneroka asas pelanggan hospitaliti syarikat itu yang luas. Ini akan meningkatkan rangkaian pengedaran kami dengan ketara dan menyediakan akses langsung kepada segmen pelancongan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

North West terlibat dalam bidang pembuatan, perdagangan dan membekalkan kemudahan perhotelan, produk penjagaan diri dan minuman segera dalam bungkusan kepada syarikat yang terlibat dalam industri hospitaliti di Malaysia.

Ia mempunyai perjanjian pengedaran eksklusif dengan jenama-jenama seperti Procter & Gamble, Livi, Etro dan Malin + Goetz untuk mengedarkan produk-produk kepada pelanggan-pelanggan dalam industri hospitaliti.

Hon berkata cadangan pengambilalihan tersebut akan dibiayai melalui cadangan penempatan persendirian, membabitkan penerbitan 95.3 juta saham biasa baharu dalam syarikat itu, mewakili tidak lebih daripada 10 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.

Berdasarkan petunjuk harga terbitan sebanyak RM0.25 bagi setiap penempatan saham, Bioalpha dijangka akan meningkatkan hasil kasar sebanyak RM20.3 juta, katanya.

“Dana yang dikumpulkan akan membolehkan objektif pertumbuhan bergerak untuk mendorong kumpulan ke tahap seterusnya.

“Memandang ke hadapan, selain daripada berkembang secara organik, kami akan terus meneroka peluang yang akan membantu perniagaan kami. Kami juga yakin dengan prospek kami, kerana kumpulan sentiasa memberi tumpuan dalam meluaskan perniagaan,” katanya. - BERNAMA

17 dibaca
Berita Harian X