Jumaat, 28 September 2018 | 3:09pm
AMANDA Lacaze

Lynas komited pelaburan di Malaysia

KUANTAN: Lynas Corporation Ltd (Lynas) yang mengendalikan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan komited kepada Malaysia dan berharap operasinya dinilai semula secara adil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkata, kebanyakan kritikan dilemparkan terhadap Lynas adalah tidak tepat dan lebih bersifat mahu mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan untuk mengadakan kajian ke atas keseluruhan operasi kilang itu tetapi berharap ianya dilaksanakan dengan adil, mengikut kaedah saintifik yang betul dan profesional.

"Kita sudah melakukan pelbagai penambahbaikan daripada aspek operasi dan mematuhi setiap peraturan ditetapkan kerajaan. Komitmen Lynas sejak memulakan operasi di sini adalah jelas dan kami ingin menjadi loji memproses bahan nadir bumi bertaraf dunia dengan menekankan aspek pengurusan sisa secara lestari.

"Malah, menerusi kilang ini juga, Malaysia sudah menjadi tumpuan pusat kecemerlangan berkaitan pemerosesan nadir bumi di luar China, termasuk membekalkan bahan kritikal untuk pengeluaran sektor industri dan berteknologi tinggi di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lacaze berkata, kesungguhan pihak Lynas sudah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menyatakan operasi kilang berkenaan memenuhi kriteria ditetapkan dan selamat.

Katanya, pihak pengurusan juga sentiasa memantau kadar pelepasan radiasi yang didakwa boleh mendatangkan kesan negatif terhadap penduduk sekitar kawasan perindustrian itu.

"Keselamatan komuniti setempat sentiasa menjadi keutamaan kami... Lynas memantau dan merekodkan kadar bacaan radiasi di kawasan antara satu kilometer (km) hingga 20 km dari kilang kami bagi memastikan ia (radiasi dihasilkan) tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk.

"Ini semua kita lakukan sebagai bukti kesungguhan kita dalam menjaga kepentingan semua pihak di samping memastikan operasi kilang kami memberi manfaat kepada penduduk sekitar," katanya.

Sejak beroperasi sekitar tahun 2011, Lynas membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 700 rakyat tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran, sekali gus membantu merancakkan ekonomi di negeri ini.

Awal Julai lalu, Kabinet mengarahkan satu jawatankuasa khas diketuai ahli Parlime Kuantan, Fuziah Salleh dan ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, diwujudkan bagi memantau dan mengkaji semula operasi kilang memproses nadir bumi itu.

Berita Harian X