Khamis, 27 September 2018 | 9:48pm
Proton X70.

Darell puji kecanggihan Proton X70

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, menjadi menteri pertama diberi peluang untuk memandu uji Proton X70.

Sesi pratonton dan pandu uji kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton Holdings Bhd (PROTON) itu dilakukan sewaktu kunjungannya ke litar uji PROTON Shah Alam, hari ini.

Semasa kunjungan itu, beliau diberi taklimat berkenaan ciri-ciri istimewa Proton X70 sebelum menjalani sesi pandu uji.

Turut menghadiri sesi pratonton itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Radzaif Mohamed serta barisan pengurusan kanan PROTON.

Darell selepas selesai pandu uji berkenaan memuji kecanggihan SUV itu yang memaparkan ciri interaktif moden termasuk pemantapan aspek keselamatan seperti radar hadapan dan sisi, serta kawalan suara yang membantu kenderaan untuk bertindak melalui arahan suara pemandu.

Proton X70 membuat penampilan pertama semasa sesi pratonton eksklusif media pada awal bulan ini.

Sesi pratonton Proton X70 untuk pelanggannya pula diadakan di tujuh bandar utama seluruh negara bermula 19 September lalu hingga 4 November ini.

Tujuh lokasi itu ialah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

SUV itu bakal ditawarkan dengan empat varian bermula dengan varian paling asas iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan varian yang dilengkapi dengan banyak ciri mewah iaitu Premium 2WD.

Model hasil kerjasama dengan Geely itu dijana dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI) yang menghasilkan kuasa 181 hp dan tork 285Nm pada 1,500 rpm.

Semua varian akan dilengkapi pelbagai ciri standard dan terkini, antaranya enam slot pengecas USB termasuk sebuah slot yang dikhaskan untuk kegunaan kamera papan pemuka (dashcam) dan sebuah soket 12V yang terletak di ruangan kargo di sebelah ruang pemandu dan penumpang depan.

Berita Harian X