Khamis, 27 September 2018 | 6:45pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan. - Foto Saddam Yusoff

Bursa Bull Charge 2018 kutip lebih RM2 juta

KUALA LUMPUR: Acara larian amal Bursa Bull Charge 2018 anjuran Bursa Malaysia yang kini memasuki tahun kelima penganjurannya berjaya mengutip dana lebih daripada RM2 juta.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, berkata dana kutipan itu akan diagihkan kepada 23 badan kebajikan dan penerima manfaat terpilih di seluruh negara.

Antara penerima bantuan itu ialah Vision 2 Transform yang akan menganjurkan program celik kewangan kepada lebih 2,000 pelajar di 20 sekolah di Lembah Klang.

Selain itu, Dato’ Senator Temenggong Lawai Jau (DLTJ) Education Trust, organisasi yang membantu menggalakkan keusahawanan dalam kalangan etnik di Sarawak dan BluBear Holdings Sdn Bhd yang bertanggungjawab menggalakkan penyertaan wanita dari etnik asal Sabah dalam bidang ekonomi.

“Lebih 1,500 peserta dari 74 syarikat menyertai acara larian amal ini yang bertujuan mengutip dana untuk tujuan amal kebajikan.

“Sejak dianjurkan pada tahun 2014 hingga 2017, kami telah berjaya mengutip lebih RM7 juta dan 120 organisasi telah menerima manfaat daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas acara larian amal itu di sini, sebentar tadi.

Acara larian amal itu turut disertai oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming yang menyertai kategori Terbuka CEO 1.5 kilometer.

Acara itu juga buat julung kalinya memperkenalkan kategori baharu iaitu larian para yang berjaya menarik penyertaan lebih 20 peserta.

Mengulas mengenainya, Tajuddin berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan larian para itu pada Bursa Bull Charge tahun depan sekiranya ia masih mendapat sambutan.

“Jika mereka mahu menyertai larian para ini pada tahun depan, kami sedia untuk dianjurkan lagi,” katanya.

Bursa Bull Charge sentiasa konsisten menjuarai kelestarian sebagai agenda utamanya selaras dengan agenda Bursa Malaysa sendiri.

Pada kali ini, acara itu turut menjadikan Sasaran Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), sebagai sebahagian komitmennya ke arah mempromosikan kemampanan.

Daripada 17 SDGs, Bursa Bull Charge menyokong enam darinya iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti; SDG5: Kesaksamaan Jantina, SDG8: Pertumbuhan Pekerjaan dan Ekonomi Yang Bagus, SDG12: Penggunaan Bertanggungjawab, SDG13: Tindakan Iklim dan SDG17: Perkongsian untuk Matlamat.

12 dibaca
Berita Harian X