Khamis, 27 September 2018 | 5:55pm
Vincent Lee pada pelancaran Samsung TV QLED di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Televisyen Quantum LED dengan imej lebih cerah, audio hebat

PETALING JAYA: Samsung Malaysia Electronics melancarkan siri baru televisyen Quantum LED (TV QLED) yang menawarkan imej cerah dan jelas serta kualiti audio hebat.

Ketua Bahagian Audio Visualnya, Vincent Lee, berkata model baharu itu dilengkapi dengan teknologi Direct Full Array yang menggunakan panel dengan zon latar cahaya kawalan pintar yang disesuaikan secara automatik untuk mewujudkan warna hitam lebih gelap dan putih tulen.

“Selain membolehkan televisyen terbabit menghasilkan kontras yang lebih mendalam dengan hitam dan putih lebih pekat, teknologi ini dapat mengurangkan kesan blooming dan halo,” katanya pada pelancaran Samsung TV QLED di sini, hari ini.

Lee berkata, televisyen ini turut menawarkan ciri penjimatan tenaga Magic Screen yang membolehkan imej atau maklumat masa sebenar seperti cuaca atau berita dipaparkan apabila ia tidak digunakan.

“Ia diaktifkan pada mod Ambient di mana televisyen ini boleh meniru corak di dinding belakang supaya ia kelihatan seolah-olah bergabung dengan dinding terbabit.

“Kami juga mempunyai penyelesaian kepada kekacauan kabel yang dikenali Connection One Invisible di mana ia mengintegrasikan kabel kuasa dan saluran data yang sebelum ini dipisahkan bagi membolehkan televisyen ini diseragamkan dengan suasana persekitaran,” katanya.

Syarikat itu turut mempamerkan produk soundbar terbaharu yang dikuasakan oleh pakar teknikal audio Harman Kardon untuk pengalaman audio lebih mendalam.

Menurut Lim, pengguna akan merasa seperti di teater melalui soundbar HW-N950 or HW-N850 yang dilengkapi teknologi Dolby Atmos dan DTS:X.

“HW-N950 memiliki saluran 7.1.4 besar yang terdiri daripada subwoofer tanpa wayar terbina di dalam dan alat pembesar suara tanpa wayar belakang manakala, HW-N850 adalah versi mudah yang menawarkan saluran 5.1.2 terdiri terdiri daripada pembesar suara utama dan woofer,” katanya.

Semua produk itu boleh didapati di Kedai Jenama Samsung dan pengedar sah di seluruh negara dengan harga TV QLED bermula dari RM7,299 (55 inci) hingga RM94,999 (88 inci) manakala, produk soundbar berharga RM4,999 untuk HW-N950 dan RM6,4999 (HW-N850).

Berita Harian X