Rabu, 26 September 2018 | 3:14pm

Eversendai dapat empat projek global RM404 juta

KUALA LUMPUR: Eversendai Corporation Bhd berjaya memperoleh empat projek bernilai RM404 juta antaranya membabitkan pembinaan salah satu struktur bumbung kaca terbesar dunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan projek dalam tangan kumpulan setakat ini adalah sebanyak RM1.12 bilion.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata ia juga telah memenangi pakej pembinaan dan fabrikasi struktur keluli bagi projek loji jana kuasa gabungan kitaran gas di Malaysia, manakala di Mumbai, India, kumpulan itu berjaya menggondol anugerah pembinaan menara kediaman 45 tingkat.

"Sektor minyak dan gas kumpulan pula telah memperolehi satu projek fabrikasi serta pemasangan bahagian kaki kapal pemasangan kincir angin luar pesisir (Deme Innovation) yang terletak di Eropah," katanya.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Pengurusan Kumpulan, Tan Sri A K Nathan, berkata, kumpulan itu mencatatkan satu lagi tempoh sibuk dalam perniagaannya selepas berjaya memenangi pelbagai projek besar termasuk yang sedia ada.

"Dengan kepakaran bertaraf antarabangsa dan reputasi sebagai peneraju global dalam fabrikasi struktur keluli serta memiliki rekod pencapaian yang cemerlang, kami mampu merebut peluang-peluang untuk meningkatkan perniagaan kami dan membangunkan kerja-kerja kejuruteraan yang luar biasa.

"Kami sentiasa mencari jalan bagi mengembangkan serta membangunkan perniagaan kumpulan dan asas pengetahuan melalui pembinaan projek struktur yang kompleks serta memastikan penyampaian yang tepat pada masa, tanpa mengabaikan keselamatan dan kualiti," katanya.

-BERNAMA

65 dibaca
Berita Harian X