Khamis, 20 September 2018 | 1:49pm
MEGAT Zaharuddin ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media bersama Pengerusi FELDA di Menara Felda hari ini. - Bernama

FELDA tubuh jawatankuasa baharu kaji projek KLVC

KUALA LUMPUR: FELDA menubuhkan satu jawatankuasa perundingan yang baharu untuk membuat rundingan semula dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) berhubung pelaksanaan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata perbincangan antara kedua-dua pihak itu disasarkan untuk diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, jawatankuasa perundingan dibarisi Lembaga FELDA yang baharu itu, kini dalam peringkat mengumpul maklumat berhubung isu KLVC serta meneliti skop perbincangan antara FELDA dan SPSB.

“Antara perkara yang sedang kita pertimbangkan termasuklah keperluan untuk melaksanakan semula audit forensik yang baharu berhubung isu ini.

“Kami juga sudah mula meneliti audit forensik yang dilaksanakan sebelum ini, selain membaca laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Apa yang penting adalah kedua-dua pihak perlu mencari penyelesaian menang-menang dan semua pihak termasuk mereka (SPSB) perlu sedar, caranya adalah dengan menerusi kaedah tadbir urus yang sebenar,” katanya pada sidang media khas FELDA di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali; Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pengurusan), Datuk Muzzammil Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komoditi), Anuar Malek.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil semakan Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA terhadap laporan akhir audit forensik ke atas projek KLVC.

Jawatankuasa siasatan itu diberi tempoh tiga bulan bermula Februari lalu untuk menyemak laporan akhir audit forensik berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang pengumuman mengenainya.

Megat Zaharuddin berkata, Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA yang ditubuhkan ketika Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjadi Pengerusi FELDA, tidak membentangkan sebarang maklumat kepada Lembaga Pengarah FELDA yang baharu setakat ini.

Katanya, jawatankuasa perundingan ada ditubuhkan sebelum ini untuk berbincang dengan SPSB, namun tempoh enam bulan yang diberikan kepada mereka sudah berakhir pada 16 Julai lalu, iaitu sebelum Lembaga Pengarah baharu menyertai FELDA.

Mengulas dakwaan SPSB kononnya jawatankuasa perundingan FELDA sebelum ini tidak memberi sebarang cadangan penyelesaian kepada syarikat pemaju itu, Megat Zaharuddin menafikan dan menyifatkan dakwaan sebagai itu tidak benar.

Mengenai keputusan sama ada meneruskan projek berkenaan atau sebaliknya, Megat Zaharuddin berkata pembinaan yang sudah berjalan perlu diteruskan, namun terma mengenainya perlu dirunding semula.

Kontroversi membabitkan KLVC yang dibina di atas tanah FELDA di Jalan Semarak FELDA, tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember tahun lalu mendedahkan mengenai pindah milik tanah berkenaan yang meragukan.

Ia dipercayai berlaku apabila FIC melantik SPSB sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan PA bagi membangunkannya.

Susulan audit forensik ke atas projek KLVC, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit terbabit, manakala jawatankuasa perundingan turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian antara FIC dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).

Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA turut diwujudkan bagi membuat semakan perundangan untuk mengambil tindakan sivil kepada individu yang bukan lagi ahli lembaga pengarah, kakitangan FELDA atau FIC yang didapati melakukan kesalahan.

52 dibaca
Berita Harian X