Selasa, 18 September 2018 | 4:07pm
PENGASAR Superchager, Janos Barberis ketika pelancaran Supercharger 2018 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SuperCharger Malaysia 2018 jangka tarik pelaburan AS$15 juta

KUALA LUMPUR: SuperCharger, pemecut teknologi kewangan (fintech) berpangkalan di Hong Kong mengumumkan 10 syarikat pemula antarabangsa sebagai finalis program SuperCharger Malaysia 2018.

Dengan lebih 200 syarikat pemula daripada 32 negara menyerahkan penyertaan untuk menyertai SuperCharger Malaysia 2018, 10 finalis itu mewakili sektor kecil fintech seperti teknologi insurans (InsurTech), teknologi kawal selia (RegTech), pembayaran, pengurusan kewangan, kecerdekan buatan (Ai) dan pematuhan.

Finalis itu ialah Prive Technologies berpangkalan di Hong Kong); SalesCandy (Malaysia); AuditXPRT (United Kingdom); Curlec (Malaysia); Heckyl (India); HelloGold (Malaysia); Laka (United Kingdom); MotionCloud (Jerman); Pensieve (India); dan Perx (Singapura).

Pengurus Besar SuperCharger Malaysia, Johnny Mayo, berkata pemilihan Malaysia oleh syarikat terbabit ialah kerana negara ini meraih manfaat daripada persekitaran makroekonomi kukuh yang meletakkannya sebagai antara pusat kewangan utama di dunia, selain kompetitif dari segi ekonomi.

“Masa depan fintech Malaysia adalah cerah meraih manfaat daripada inisiatif proaktif pengawalseliaan, matlamat dasar, kedudukan geografi strategik sebagai hab ASEAN dan tenaga kerja berbakat, yang mana ini menjadi tarikan kepada pihak berkepentingan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan 10 finalis itu di sini hari ini.

Mayo berkata, kerajaan baharu Malaysia mencetuskan keyakinan baharu di seluruh negara, sekali gus beliau yakin lebih banyak pelaburan dijangka memasuki negara ini dalam semua sektor termasuk fintech.

Beliau berkata, pihaknya mensasar SuperCharger Malaysia 2018 akan menjana sekitar AS$15 juta (RM62.15 juta) dalam bentuk pelaburan, paras sama yang diraih program itu tahun lalu.

Sebanyak 150 pengenalan perniagaan disasarkan diraih pada program kedua edisi Malaysia itu, manakala 18 kontrak disasar dimeterai.

"Kami akan bekerjasama dengan rangkaian yang lebih meluas terdiri daripada pemodal teroka dan pelabur budiman tahun ini, lebih besar berbanding tahun lalu, dengan sokongan Persatuan Modal Teroka Malaysia," katanya.

10 finalis terbabit akan menyertai program 12-minggu yang mana mereka, antaranya, akan diketemukan dengan beberapa institusi kewangan.

Berita Harian X