Jumaat, 14 September 2018 | 8:11pm
Pembangunan Komersial Bersepadu Paradigm bernilai RM1.8 bilion yang dimajukan oleh WCT Holdings Berhad , sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan utama yang juga terlibat dalam bidang hartanah, kini sudah hampir siap dengan menara kediaman, Residensi Sapphire Paradigm yang akan dilancarkan tidak lama lagi.​- Foto NSTP

WCT, Lendlease mula kerja pembangunan komersial di TRX

KUALA LUMPUR: WCT Holdings Bhd, yang memulakan kerja-kerja awal bagi projek pembangunan komersial bercampur di Tun Razak Exchange Lifestyle Quarter hari ini menandatangani kontrak perdagangan dengan Lendlease Projects (M) Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja bernilai RM555 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, WCT berkata, anak syarikat milik penuhnya, WCT Bhd akan membina struktur bangunan, fakad bagi pembangunan yang terdiri daripada kompleks beli-belah empat tingkat, tempat letak kereta tiga tingkat dan satu tingkat landskap terbuka dengan ruang runcit.

Kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun daripada Ogos 2018, tambahnya.

WCT Bhd dan Lendlease Projects telah menandatangani perjanjian kerja awal, yang menjadi sebahagian daripada kontrak perdagangan itu pada 12 Julai.

Lifestyle Quarter, pembangunan yang diterajui runcit seluas 6.9 hektar, adalah pembangunan hartanah terbesar di Asia oleh Lendlease, iatu kumpulan hartanah Australia. Ia merupakan usaha sama antara Lendlease (60 peratus) dan TRX City Sdn Bhd (40 peratus).

Dilaporkan pusat beli-belah itu akan disiapkan terlebih dahulu, dengan taman awam di bahagian bumbungnya.

-BERNAMA

23 dibaca
Berita Harian X