Rabu, 5 September 2018 | 7:05pm

Lendlease teroka potensi labur di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Firma pembinaan berpangkalan di Australia, Lendlease, yang memperuntukkan RM4 bilion sebagai modal bagi pasaran Asia, sedang berbincang dengan rakan kongsi​​​​​​​ berpotensi bagi projek baharu di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease bagi Asia, Tony Lombardo, berkata tumpuan kini adalah untuk mengembangkan portfolio pembangunan semula bandar dan berharap perbincangan itu membuahkan hasil positif dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Pada 2007, kami hanya mempunyai satu projek pembangunan semula bandar dan kini kami telah mempunyai 18 projek, termasuk TRX Lifestyle Quarter di sini dan Paya Lebar Quarter di Singapura.

“Saya berhasrat menyaksikan kami memperolehi dua hingga tiga projek pembangunan semula bandar berskala besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Landlease bagi operasi Asia berpangkalan di Singapura.

Ketika ditanya sama ada Lendlease akan mempertimbangkan Bandar Malaysia sebagai antara projek pembangunan bandarnya, Lombardo berkata kawasan itu berpotensi menjadi pilihan terbaik, namun, syarikat perlu menjalankan kerja-kerja latar belakang sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, apabila mencari projek berpotensi, kriteria Lendlease adalah termasuk kesambungan kepada Transit Aliran Massa (MRT), kesalinghubungan jalan raya dan mudah diakses.

“Apabila kami membeli projek di mana-mana di dunia, ia bukan secara tradisionalnya menjadi destinasi paling disukai ketika itu kerana ramai yang tidak dapat membayangkan lokasi tersebut akan berubah. Kami tidak pernah bimbang untuk melaksanakan perkara yang tidak mempunyai tujuan jelas selagi kami memiliki idea mengenai apa yang kami fikir akan berhasil.

“Itu sebabnya kami sentiasa menekankan kesalinghubungan atau sambungan,” katanya.

Terdapat banyak soalan yang timbul mengenai status pembangunan Bandar Malaysia selepas kerajaan memutuskan untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

“Kawasan seluas 196.68 hektar, yang dulunya adalah pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia itu mempunyai akses mudah ke Putrajaya melalui Lebuhraya Maju, serta ke pusat bandar raya menerusi terowong SMART.

Stesen MRT di bahagian selatan dan utara Bandar Malaysia, mengikut laluan kedua MRT yang menghubungkan Sungai Buloh ke Serdang dan Putrajaya, akan beroperasi pada 2022.

Mengulas mengenai perubahan kepimpinan negara ini, Lombardo berkata dari perspektif peserta asing, peralihan itu dilihat berjalan lancar dan Lendlease amat bertuah kerana kerajaan telah melihat projek TRX Lifestyle Quarter semasa peringkat awal pelan 100 harinya.

“Kami gembira apabila kerajaan mengumumkan bahawa mereka menyokong projek ini dengan pelaburan seterusnya RM2.8 bilion.

“Kepada komuniti perniagaan, kami berpendapat wujud persekitaran yang positif di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X