Jumaat, 24 Ogos 2018 | 3:39pm

Ciri-ciri e-dompet Touch 'n Go akan diperluas

KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd, syarikat usaha sama Touch 'n Go Sdn Bhd dan Ant Financial Services Group akan menampilkan lebih banyak ciri-ciri baharu pada aplikasi pembayaran digital yang dibangunkannya, Touch ‘n Go eWallet dalam masa beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin, berkata aplikasi e-dompet yang masih di peringkat awal itu akan menjadi platform digital kepada rakyat di negara ini merasai ekosistem pembayaran yang selamat, mudah dan lancar dengan menggunakan kod QR bagi urusan pembayaran.

Beliau berkata, setakat ini, sambutan adalah menggalakkan dengan kira-kira 300,000 orang sudah memuat naik aplikasi berkenaan dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 500,000 pengguna dalam bulan-bulan akan datang.

Ketika ini, aplikasi e-dompet itu membolehkan pengguna membuat pembayaran, menambah nilai kredit mudah alih, pemindahan wang dan menonton wayang.

“Dengan aplikasi e-dompet ini, pengguna kad Touch 'n Go (TnG) boleh mengakses maklumat mengenai kad mereka menerusi aplikasi e-dompet itu yang mana mereka boleh menghubungkan kad mereka kepada platform e-dompet dan menyemak baki kad.

“Melangkah ke hadapan, lebih banyak ciri-ciri akan ditambah dalam aplikasi e-dompet ini,” katanya pada pembukaan rasmi hab operasi utama TNG Digital di sini, hari ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Hadir sama ialah, Ketua Pegawai Teknologi Ant Financial, Cheng Li.

Sementara itu, Syahrunizam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn Bhd, berkata ujian perintis bagi penggunaan teknologi RFID bagi pembayaran tol di lebuh raya akan bermula 3 September ini.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat untuk menjalani ujian perintis bagi pembayaran tol menggunakan teknologi RFID itu boleh mendaftar melalui laman web www.touchngo.com.my.

Syahrunizam berkata, sejajar dengan rancangan pelancaran sistem RFID tahun depan, Touch ‘n Go tidak lagi menjual peranti SmartTAG.

Bagaimanapun, katanya, peranti SmartTAG yang sedia ada masih boleh digunakan di semua lebuh raya.

497 dibaca
Berita Harian X