Khamis, 16 Ogos 2018 | 1:45pm

MPTN laksana transformasi pemasaran masa depan

KUALA LUMPUR: Kumpulan media bersepadu terbesar tempatan, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) mengambil langkah bagi mengukuhkan kedudukannya dengan memperluas dan menggabungkan isi kandungan, data serta penyelesaian platformnya.

Langkah berterusan itu adalah bagi membolehkan jenama dan pengiklan berhubung secara lebih berkesan dengan penonton yang menggunakan televisyen melalui pelbagai cara, sekali gus menghasilkan pulangan komersial lebih besar.

Rangkaian yang menempatkan saluran nombor satu dan platform bersepadu untuk lebih 28 juta penonton itu memulakan rancangan perluasan transformatif dan agresif dengan menjadikan televisyen sebagai teras.

Ini termasuk memperkenalkan platform Audience+ yang membolehkannya membina pandangan mikro dan menapis profil penonton bagi mendapatkan sasaran iklan lebih pintar, sekali gus mengukuhkan pemahaman MPTN terhadap trend industri, di samping tabiat dan kegemaran penonton.

Selain itu, MPTN juga melabur untuk terus membina bakat dan keupayaan dalaman, sekali gus mewujudkan pasukan isi kandungan khidmat penuh yang bertanggungjawab menghasilkan pelbagai kempen paling ikonik di Malaysia sejak beberapa tahun ini.

Pengarah Jualan dan Strategi MPTN, Nini Yusof, berkata televisyen sentiasa menjadi medium berkuasa untuk pengamal pemasaran, namun format dan mekanisme penyampaian bagi isi kandungannya telah berubah dengan tawaran televisyen terhubung, kandungan ‘over-the-top’ menggunakan IP serta platform digital.

“Di MPTN, kami menyesuaikan diri secara pantas dengan membawakan penyelesaian bersama dan memanfaatkan kekuatan untuk menjadikan televisyen sebagai tunjang teras isi kandungan inovatif dalam ekosistem platform agnostik.

“Melalui kempen kreatif dinamik yang merangkul pelbagai anugerah, kami berupaya memperluaskan isi kandungan televisyen merangkumi penyiaran, digital, mudah alih dan sosial, sekali gus mewujudkan gabungan titik sentuh pemasaran untuk jenama-jenama,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendekatan yang diperbaharui bagi menyegarkan semula televisyen sebagai penyelesaian pemasaran itu telah menggalakkan lebih banyak jenama memilih MPTN sebagai pemacu kandungan utama usaha pemasaran masing-masing.

Hasilnya, MPTN merekodkan pertumbuhan agresif lebih 60 peratus jumlah isi kandungan berjenama yang diterbitkan sepanjang tahun lalu.

Ia bukan hanya menarik syarikat tempatan seperti AirAsia dan Mamee-Double Decker, malah jenama antarabangsa membabitkan pelbagai industri seperti Samsung, McDonald’s and Coca Cola.

Berita Harian X