Jumaat, 10 Ogos 2018 | 7:08pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CIMB dapat kelulusan perniagaan pembrokeran saham

KUALA LUMPUR: CIMB Group mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Malaysia sebagai syarikat pegangan Jupiter Securities Sdn Bhd, platform yang akan digunakan bagi perniagaan pembrokeran saham di Malaysia oleh CIMB dan China Galaxy Securities Co Ltd.

CIMB dan China Galaxy akan memiliki kepentingan 50:50 dalam syarikat usaha sama itu, menerusi anak syarikat masing-masing iaitu CIMB Group Sdn Bhd dan China Galaxy International Financial Holdings Limited.

Perniagaan pembrokeran saham CIMB Group di Malaysia merangkumi pembrokeran runcit dan institusi, perkongsian margin pembiayaan pelanggan broker, perkhidmatan pembiayaan ekuiti dan penyelidikan ekuiti, selain broker derivatif tersenarai di bawah CIMB Futures Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pihaknya amat gembira menerima kelulusan kawal selia bagi membolehkannya melengkapkan perniagaan pembrokeran saham di Malaysia, menerusi kerjasama CIMB-China Galaxy.

“Kami bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya kepakaran, inovasi digital dan akses pasaran yang dikongsi bagi mengukuhkan industri pembrokeran saham Malaysia.

“Di samping itu, kerjasama Pan-Asia CIMB-China Galaxy juga akan membolehkan kami menskala dan meraih lebih peluang, terutama dari segi digital, dalam industri pembrokeran saham di ASEAN dan China.

“Saya yakin kerjasama ini akan memberikan penyelesaian lebih baik, akses pasaran lebih besar dan kelebihan nilai kepada pelanggan sedia ada serta akan datang kerjasama ini, begitu juga kepada CIMB dan China Galaxy,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelulusan yang diperoleh daripada BNM adalah berhubung kerjasama bahagian kedua CIMB dengan China Galaxy.

Kerjasama bahagian pertama, yang berkaitan perniagaan pembrokeran CIMB di luar Malaysia, diselesaikan pada 18 Januari lalu.

Berita Harian X