Isnin, 30 Julai 2018 | 8:11pm

Rev Asia meterai MoU dengan Catcha ambil alih syarikat asing

KUALA LUMPUR: REV Asia Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Catcha Group Pte Ltd untuk mengambil alih pegangan majoriti dalam kumpulan syarikat milik asing.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata MoU tersebut membolehkan pihak yang berkenaan berunding secara eksklusif selama tiga bulan serta menggariskan pemahaman dan hasrat berhubung cadangan pengambilalihan itu.

Katanya, cadangan pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada pelan penyusunan syarikat untuk menyelaraskan syarat Nota Panduan 2 (GN2) untuk mengekalkan status penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Securities.

Butiran mengenai pelan penyusunan itu akan dikemukakan kepada Bursa Malaysia dalam masa terdekat, katanya.

Bursa Malaysia, melalui surat bertarikh 3 Ogos, 2017, memaklumkan Rev Asia dianggap sebagai syarikat tunai menurut Peraturan 8.03 dan keperluan penyenaraian GN2.

Sehubungan itu, syarikat tersebut perlu mematuhi peruntukan dan keperluan dalam Peraturan 8.03 dan GN2, yang antara lain, memerlukan cadangan untuk dikemukakan bagi mengambil alih perniagaan teras baharu yang amat komprehensif dan meningkatkan nilai pemegang saham. - BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X