Isnin, 30 Julai 2018 | 3:57pm
PENGARAH Urusan LKL International Bhd, Lim Kon Lian. - Foto Rosela ismail

LKL International peroleh kontrak RM11.4 juta daripada Uganda

KUALA LUMPUR: Pembekal aksesori dan katil perubatan, LKL International Bhd, memperoleh kontrak membekalkan katil penjagaan kesihatan dan peralatan perubatan bernilai RM11.4 juta daripada Kementerian Kesihatan Uganda.

Pengarah Urusannya, Lim Kon Lian, berkata tawaran itu adalah kontrak terbesar syarikat dari rantau Afrika dan ia akan membantu memperkenalkan jenama kumpulan di benua itu, selain menyokong usaha sedia ada untung mengembangkan eksport.

"Pembekalan kelengkapan itu bagi tempoh setahun bermula 1 Ogos 2018.

"Melangkah ke hadapan, kami amat optimis mampu membawa masuk peningkatan nilai dan membekalkan lebih banyak kelengkapan kesihatan kepada pasaran antarabangsa, terutamanya di Afrika yang mana pelaburan dalam kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan sedang melonjak.

"Ini terhasil daripada pemahaman meluas kami mengenai kehendak pasaran serta disokong oleh rangkaian produk kami yang komprehensif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kon Liam berkata, eksport merangkumi 31.5 peratus daripada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2018.

"Malahan, jualan luar negara meningkat sebanyak 47.7 peratus daripada RM6.3 juta kepada RM9.4 juta sejak tempoh lima tahun kewangan (2013-2018)," katanya.

Kontrak berkenaan dijangka akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan 2019 hingga tahun kewangan 2020.

Berita Harian X