Khamis, 26 Julai 2018 | 5:04pm

Khazanah cemerlang laksana mandat kerajaan

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd yang mula beroperasi pada 1994 dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi pertama ditubuhkan bagi menguruskan aset komersial kerajaan serta melabur dalam sektor strategik dan berteknologi tinggi.

Antara urus niaga di awal 10 tahun pertama penubuhannya termasuk melupuskan saham EON Bhd bernilai RM417.1 juta, memindahkan Malaysia Airports Bhd dan STLR Sdn Bhd kepada Khazanah daripada Menteri Kewangan Diperbadankan dan mengambil alih 40 peratus ekuiti dalam Putrajaya Holdings.

Pada 2004, mandat Khazanah diperbaharui dengan mengambil pendekatan lebih aktif serta meluas dalam pelaburan termasuk membabitkan pegangan utama sedia ada selain mengenal pasti peluang dalam sektor-sektor dan geografi baharu.

Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Badawi menjadi Pengerusi Khazanah yang kedua pada September 2003 dengan antara pembaharuan dibuatnya ialah melancarkan Program Transformasi GLC (GLCT) pada September 2005.

Transformasi ini bertujuan menjadikan GLC sebagai entiti berprestasi tinggi yang telah menghasilkan manfaat ekonomi dan kewangan dalam pelbagai bidang, menyentuh kehidupan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelabur, kakitangan, pembekal, pelanggan GLC serta masyarakat umum.

GLCT berakhir pada 28 Julai 2015.

Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak menjadi Pengerusi Khazanah yang ketiga pada September 2009.

Dalam tempoh hampir sembilan tahun itu menyaksikan Khazanah aktif melakukan pelbagai transaksi perniagaan dan pelaburan di dalam dan luar negara.

Antaranya penerbitan sukuk dolar Singapura pertama diterbitkan oleh Khazanah yang juga terbesar di negara itu pada 2010.

IHH Healthcare Berhad (IHH) diperbadankan pada tahun sama dan setahun kemudian menerima pelaburan daripada Mitsui & Co Ltd sebanyak RM3.3 bilion.

Penggabungan UEM Land dan Sunrise menjadikan UEM Land pemaju hartanah terbesar di Malaysia pada 2011.

Khazanah mengumumkan pelaburan bersama Temasek Pte Ltd untuk menjalankan projek di Iskandar Malaysia dan Singapura

yang menyaksikan penubuhan M+S Pte Ltd dimiliki 60:40 oleh Khazanah dan Temasek dan Pulau Indah Ventures Sdn Bhd, usahasama 50:50 antara Khazanah dan Temasek.

Pada akhir 2011, Khazanah melancarkan sukuk Renminbi pertama yang juga sukuk luar pesisir Renminbi pertama di dunia.

Selain itu, pada tahun 2013, Institut Penyelidikan Khazanah ditubuhkan dengan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dilantik sebagai Pengerusi pertama.

Dalam bidang teknologi, Khazanah turut melabur dalam syarikat AliBaba pada 2014.

16 dibaca
Berita Harian X