Jumaat, 20 Julai 2018 | 5:46pm
KHAIRUL Kamarudin. - Foto NSTP

Khairul Kamarudin letak jawatan CEO BHB, Bank Islam

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkuat kuasa serta-merta.

Khairul turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), sebuah anak syarikat milik penuh BHB.

Beliau dilantik memegang jawatan berkenaan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 14 Jun 2017 bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat.

Khairul menyertai Bank Islam pada 2005 dan memainkan peranan penting menerajui pemulihan aset semasa tahun pemulihan dan transformasi Bank Islam serta memperkenalkan pendekatan jualan yang agresif di samping menggalakkan budaya prestasi berasaskan risiko.

Pengerusi BHB, Tan Sri Ambrin Buang, berkata Lembaga Pengarah BHB dan Bank Islam telah menerima peletakan jawatan Khairul dan ingin mengucapkan penghargaan atas sumbangan beliau kepada institusi dan sektor perbankan Islam.

"Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam bidang yang diceburinya di masa hadapan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Susulan peletakan jawatan itu, Lembaga Pengarah BHB telah memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Eksekutif Lembaga (Exco Lembaga) bagi mengawasi operasi harian BHB.

Ambrin turut meyakinkan semua pemegang saham, pihak berkepentingan, pendeposit dan pelanggan bahawa BHB dan Bank Islam tidak akan terjejas oleh perkembangan ini.

"Semua urusan perniagaan akan berjalan seperti biasa untuk kumpulan," katanya.

Di peringkat Bank Islam, Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk melantik Mohd Muazzam Mohamed sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa semalam.


MOHD Muazzam Mohamed.

Mohd Muazzam, menyertai Bank pada 11 Mei 2015 sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dengan membawa bersama beliau pengalaman selama 22 tahun dalam bidang audit, kewangan dan perundingan.

Sejak menyertai bank, beliau memainkan peranan utama dalam hala tuju strategik bank, pengurusan modal dan lembaran imbangan, kewangan korporat, kredit, peletakan pasaran, perancangan dan kawalan kewangan serta pentadbiran am.

Mohd Muazzam juga mempunyai pengiktirafan sebagai Akauntan Bertauliah (Institut Akauntan Malaysia), Akauntan Awam Bertauliah (Institut Akauntan Awam Malaysia), Juruaudit Sistem Maklumat Bertauliah dan Akauntan Kewangan Awam Bertauliah (Institut Kewangan Awam dan Perakaunan Berkanun).

Beliau juga pernah menjadi Rakan Kongsi KPMG dan Pengarah Eksekutif bagi Konsultansi Pengurusan KPMG dari tahun 1997 hingga 2015.

Berita Harian X