Khamis, 19 Julai 2018 | 9:14pm

Sasar 5 juta pengguna Boost menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR: Axiata Digital Advertising Sdn Bhd (ADA) menyasarkan untuk menarik lima juta pengguna aplikasi dompet elektroniknya (e-dompet), Boost, menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd Khairi Abdullah berkata aplikasi mudah alih itu, yang boleh digunakan untuk membeli makanan serta pemindahan kredit, telah menjadi peneraju e-dompet tempatan terbesar dalam negara ini.

"Kami mempunyai 2.7 juta pengguna dengan 30,000 peruncit sekarang ini di seluruh negara. Kami berharap untuk mencapai angka 100,000 peniaga menjelang akhir tahun," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ADA, sebuah subsidiari milik penuh tidak langsung Kumpulan Axiata dan PUC Bhd, di sini, hari ini.

ADA telah memeterai satu MoU dengan anak syarikat milik penuh PUC, RedHot Media Sdn Bhd, sementara anak syarikat ADA, Axiata Digital eCode Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian dengan satu lagi anak syarikat PUC yang menyediakan perkhidmatan e-dompet iaitu EPP Solutions Sdn Bhd.

RedHot Media berhasrat untuk menjadi agensi media eksklusif ADA dalam menyediakan media tradisional pembelian dan perkhidmatan yang membabitkan pelanggan RedHot (pengiklan dan rakan media) di Malaysia manakala ADA akan menjadi agensi pengiklanan digital RedHot yang eksklusif.

Mengenai MoU kedua, ADA dan EPP akan meneroka integrasi pemindahan kredit yang sama supaya kedua-dua pengguna e-dompet Boost dan Presto Wallet EPP akan boleh membuat pembayaran dan menerima pembayaran antara satu sama lain.

Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan PUC, Cheong Chia Chou, berkata ikatan ini akan mengukuhkan lagi aplikasi Presto melalui kewujudan platform yang serba mampu.

"Kami juga akan dapat memenuhi permintaan pengguna pintar dalam pasaran," katanya.

Kerjasama ini dijangka akan mempunyai kesan langsung ke atas pengalaman pengguna 11Street, platform e-dagang yang dimiliki oleh ADA, PUC dan SK Planet Global Holdings.

Pada April lalu, PUC mengumumkan melalui pelaburan sehingga RM90 juta, ia akan memperoleh 24 peratus bahagian dalam operator 11Street, Celcom Planet Sdn Bhd termasuk kawalan pengurusan.

Kerjasama ini dijangka akan merangsang secara menyeluruh sumbangan pendapatan Boost daripada 11street sebanyak lima peratus berbanding tiga peratus sebelum ini.

"Usaha sama ini akan merintis jalan bagi PUC untuk menjadi pembekal perkhidmatan teknologi gaya hidup digital dalam tempoh yang lebih singkat," katanya.

-- BERNAMA

32 dibaca
Berita Harian X