Khamis, 19 Julai 2018 | 2:41pm

SST - Giant cadang kekalkan harga barang

KUALA LUMPUR: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH), pengendali pasar raya besar Giant, bercadang untuk mengekalkan harga barangnya susulan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH, Pierre-Olivier Deplanck, berkata sebagai pemain industri peruncitan selama 74 tahun di Malaysia, pihaknya sentiasa melindungi pengguna dengan menawarkan pelbagai rangkaian barang yang lebih murah dan berpatutan.

Beliau berkata, pihaknya adalah antara pemain industri terbesar dalam segmen ini dan akan memastikan sektor runcit akan terus berkembang pesat dan memberi manfaat kepada orang ramai.

"Kami sentiasa menawarkan harga yang kompetitif dalam pasaran dan Giant juga dikenali kerana menyediakan pelbagai pilihan barang yang menarik dan bernilai kepada pelanggan.

"Malah, baru-baru ini apabila kerajaan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), hampir 35,000 unit penyimpanan stok (SKU) di Giant turut menyaksikan penurunan harga.

"Apabila kerajaan mengumumkan dasar mengenai cukai SST ini, kami akan memenuhi dan mengikutinya tanpa menambah sebarang peningkatan sen dan berusaha mengekalkan harga sedia ada," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selain Giant, GCH turut mengendalikan tiga pasar raya besar dari segmen premium iaitu Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan cukai baru itu, kawalan harga bukan berada di bawah pengurusannya sebaliknya ia perlu diberi perhatian khususnya di peringkat pengilang dan pengimport.

Katanya, pihaknya akan cuba sedaya upaya melakukan apa saja dalam meminimumkan sebarang peningkatan harga barang seperti mengelak dari urus niaga jika ditawarkan harga yang tidak masuk akal daripada pengeluar.

"Misi dan DNA kami adalah untuk menawarkan barang yang murah dan berpatutan di 133 cawangan Giant seluruh negara kepada rakyat negara ini.

"Dalam memperhebatkan usaha ini, kerjasama dengan Giant Singapura juga dilakukan sebagai menyokong inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Selain itu, menurut unjuran oleh Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) industri runcit dijangka meningkat empat peratus, susulan perkembangan positif industri itu tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon Co (M) Bhd (Aeon), Shinobu Washizawa berkata, sepanjang tempoh GST berkadar sifar sejak 1 Jun lalu, pihaknya mendapati sentimen pengguna mulai pulih.

"Bagaimanapun kami tidak boleh memberikan maklum balas mengenai polisi SST kerana masih menunggu penjelasan lanjut mengenainya dari kerajaan.

"Jadi, agak sukar bagi kami untuk menentukan kesannya terhadap barang dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

26 dibaca
Berita Harian X