Selasa, 3 Julai 2018 | 4:04pm
Ketua Bahagian Pemasaran Mr DIY, Andy Chin (kanan) dan Duta Mr DIY, Adibah Noor (dua kanan) bersama Pengarah Urusan Creador, Kevin Loh (kiri) pada perlancaran Portal MR DIY di Hotel Intercontinental. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

MR D.I.Y sasar miliki 500 cawangan tahun ini

KUALA LUMPUR: MR D.I.Y Trading Sdn Bhd (MR D.I.Y), pengendali kedai barangan perkakasan rumah merancang pembukaan 500 cawangan jenama itu di Malaysia menjelang hujung tahun ini berbanding 415 cawangan pada masa ini.

Ketua Pemasarannya, Andy Chin, berkata syarikat sudah membuka 15 cawangan terbaru sehingga masa ini dan menjangkakan pembukaan sebanyak 70 lagi cawangan dalam usaha mencapai sasaran terbabit.

"Secara keseluruhan, kami menyasarkan pembukaan 135 cawangan bagi tahun ini di Malaysia untuk terus mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran negara ini," katanya pada pelancaran platform e-dagang MR D.I.Y di sini, semalam.

Pada masa ini, syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu memiliki lebih 550 cawangan di rantau Asia Pasifik membabitkan negara seperti Malaysia (415 cawangan), Thailand (100), Brunei (4) dan Indonesia (31).

Beliau berkata, syarikat juga merancang pembukaan tambahan 300 cawangan baru di rantau terbabit dan merancang untuk memperluaskan pasaran di dua negara baru iaitu Singapura (satu cawangan) pada suku ketiga dan Filipina (10 cawangan ) pada suku keempat tahun ini.

"Tahun 2018 akan menjadi tahun yang baik untuk kami di mana kami menetapkan empat matlamat utama untuk dicapai iaitu pembukaan gedung perdana pertama MR D.I.Y yang sudah dibuka Mac lalu, penerokaan pasaran Singapura dan Filipina, pembukaan 300 cawangan baru serantau dan pelancaran platform e-dagang MR D.I.Y," katanya.

Sementara itu, MR D.I.Y melancarkan platform e-dagangnya iaitu mrdiy.com.my bagi memberi kemudahan kepada orang ramai dalam melakukan pembelian secara atas talian sekali gus membantu menjimatkan masa dan kos masing-masing.

Andy berkata, platform itu menawarkan empat ciri utama yang dijangka mampu menarik perhatian pengguna iaitu penghantaran percuma, MR D.I.Y Express, Collect@MR D.I.Y dan Jaminan MR D.I.Y.

"Pelanggan boleh menikmati penghantaran percuma ke rumah mereka di Semenanjung Malaysia tanpa perlu belanja minimum bagi sebarang pesanan di bawah lima kilogram dan juga boleh meminta perkhidmatan MR D.I.Y Express dengan sedikit bayaran bagi membolehkan pembelian mereka dihantar dalam tempoh 24 jam.

"Selain itu, pelanggan juga boleh membeli barangan secara atas talian dan mengambil terus dari 25 kedai MR D.I.Y terpilih di Lembah Klang melalui Collect@MR D.I.Y dan menikmati Jaminan MR D.I.Y. yang membolehkan mereka memulangkan kembali barang dibeli dan ditukarkan atau wang dikembalikan," katanya.

Cawangan MR D.I.Y menawarkan lebih daripada 20,000 jenis produk yang terdiri daripada sembilan kategori iaitu perkakas, barangan rumah, barangan elektrik, aksesori kereta, alat tulis, mainan, hadiah, sukan dan perhiasan serta kosmetik.

Berita Harian X