Khamis, 28 Jun 2018 | 2:39pm
AZMAR Talib (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi, Tan Hwa Min (kiri) dan Pengarah Pengurusan Pembinaan TRX, Eoin O'Sullivan ketika membuat lawatan ke tapak pembinaan Tun Razak Exchange (TRX). - Foto Hafiz Sohaimi

TRXC dalam perbincangan dengan pelabur berpotensi

KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd (TRXC), pemaju utama Tun Razak Exchange (TRX) dalam perbincangan dengan beberapa pelabur dari dalam dan luar negara mengenai peluang pelaburan berpotensi dalam projek hab kewangan dan perdagangan antarabangsa bernilai RM40 bilion itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib, berkata sokongan kerajaan untuk meneruskan projek mega itu mengukuhkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara, sekali gus meningkatkan kapasiti TRXC untuk menyiapkan semua aspek pembangunan mengikut jadual.

"Terdapat banyak pertanyaan daripada beberapa pihak dan mereka menyatakan minat untuk terbabit dalam projek bercampur ini. Terbukti, sentimen pelabur tidak terjejas walaupun syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terbabit dengan skandal berbilion ringgit.

"Setakat ini, beberapa pihak dari Eropah, Asia dan Jepun menyatakan hasrat untuk melabur dalam projek ini namun masih terlalu awal untuk mendedahkan identiti mereka kerana kita masih dalam proses rundingan," katanya sempena lawatan media ke tapak projek TRX di sini, hari ini.

Setakat ini, 80 peratus daripada pembangunan prasarana fasa pertama TRX siap dibina dan dijangka beroperasi awal tahun depan termasuk Menara Exchange 106 dan Menara Prudential.

Fasa kedua infrastruktur yang membabitkan plaza awam, laluan pejalan kaki dan Taman Pusat seluas empat hektar dijangka siap pada 2020 serentak dengan pembukaan Exchange Mall dan ibu pejabat HSBC Malaysia dan Affin Bank.

Minggu lalu, TRXC membuat laporan polis mengenai pemindahan dana TRXC kepada 1MDB.

Dalam satu kenyataan, TRXC berkata pemindahan itu dilakukan atas arahan 1MDB yang sepatutnya diperuntukkan untuk projek TRX dan Bandar Malaysia.

Sebanyak RM3 bilion dipindahkan dari TRXC kepada 1MDB antara pertengahan 2012 dan awal 2017, ketika ia masih anak syarikat 1MDB, dengan perjanjian bahawa ia akan dibayar semula kepada TRXC.

Sehingga kini, kerajaan menyuntik sebanyak RM3.69 bilion ke atas TRXC dan tujuh bidang tanah di TRX bernilai RM2.88 bilion dijual kepada Lendlease, Tabung Haji, Mulia Group, Affin Bank, WCT, IJM Corp dan HSBC.

Terletak di tanah seluas 28.328 hektar, 1MDB memperoleh tanah TRX daripada kerajaan Persekutuan pada harga RM302.38 juta pada 2010.

Pada Mac 2013, Abu Dhabi Malaysia Investment Co Ltd (usahasama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS) menjadi pelabur asing utama yang pertama di TRX.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB iaitu TRX dan Bandar Malaysia.

31 dibaca
Berita Harian X