Rabu, 27 Jun 2018 | 8:22pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Al-Ishsal Ishak.

Pos Laju rangkul anugerah Penyedia Perkhidmatan Ekspres

KUALA LUMPUR: Cabang kurier Pos Malaysia, Pos Laju, memenangi anugerah Penyedia Perkhidmatan Ekspres Tahun 2018 oleh Anugerah Kecemerlangan Malaysia Frost & Sullivan 2018, bagi kali kesembilan berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Al-Ishsal Ishak berkata mereka bangga meraih anugerah itu yang menjadi bukti komitmen dan dedikasi mereka dalam mencapai prestasi cemerlang sepanjang 2017.

"Dedikasi kakitangan kami dalam memastikan jenama terus berkembang serta mengekalkan kepercayaan ramai, mengesahkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kurier terkemuka di negara ini.

"Kami juga menyedari iklim segmen kurier semakin sengit. Justeru itu, kami komited untuk lebih giat berusaha bagi mengekalkan anugerah ini tahun depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Pos Laju, anak syarikat logistik Pos Malaysia, Pos Logistics turut merangkul Anugerah Penyedia Perkhidmatan Logistik 2017 buat kali ketiga.

-BERNAMA

Berita Harian X