Rabu, 27 Jun 2018 | 7:23pm
Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahya (empat dari kiri) bersama Pengerusi, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Datuk Agil Natt (kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak (kanan) bergambar dengan penerima anugerah pasangan FI semasa CGC Awards dan penghargaan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri CGC di Auditorium, Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CGC tunggu keputusan kerajaan berhubung projek mega

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) masih menunggu keputusan muktamad kerajaan berhubung penangguhan atau pembatalan projek mega berkaitan infrastruktur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata keputusan itu penting bagi membolehkan agensi itu menilai semula skim pembiayaan yang ditawarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbabit dalam projek berkenaan.

Katanya, penilaian semula atau perubahan perlu memandangkan pembiayaan kepada sektor berkaitan menjadi tumpuan CGC sebelum ini.

"Kami masih menunggu keputusan muktamad kerajaan berhubung projek infrastruktur sebelum sebarang perubahan dilakukan oleh CGC," katanya kepada media selepas majlis Anugerah SME CGC 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya dan Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt.

Mengenai imSME yang diwujudkan CGC, Mohd Zamree berkata, sejak dilancarkan Februari lalu, platform itu sudah dilawati lebih 40,000 PKS) dengan lebih 700 daripadanya mendapat pembiayaan dari 15 institusi kewangan (FI) membabitkan jumlah pembiayaan diluluskan sebanyak RM2.94 juta.

"Kami dapati imSME adalah platform berpotensi untuk terus berkembang ketika ini memandangkan konsep yang ditawarkan membolehkan usahawan PKS mencari dan memadankan produk pinjaman yang sesuai dengan kehendak mereka secara dalam talian, pada tempoh yang lebih cepat dan mudah.

"Ia juga dapat memendekkan tempoh pemprosesan pinjaman berbanding cara konvensional yang memerlukan mereka pergi ke setiap bank untuk memohon pinjaman," katanya.

Platform imSME yang bermaksud i am SME (saya ialah SME) ditawarkan CGC kepada perusahaan mikro, sederhana dan kecil untuk mendapat pembiayaan daripada FI.

Sementara itu, CGC mengiktiraf lima FI dan 10 pelanggan yang aktif dalam dalam skim CGC sempena Anugerah SME CGC 2018.

Ambank (M) Bhd (Ambank), CIMB Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Standard Chartered Bank Bhd dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Rakan Niaga FI Utama bagi kategori bank komersial, manakala Maybank Islamic Bhd meraih dua anugerah iaitu Anugerah Rakan Niaga FI Utama bagi kategori perbankan Islam dan Anugerah Rakan Niaga FI Bumiputera Utama.

Maybank turut menerima Anugerah Rakan Niaga Kewangan Terbaik CGC buat tahun kedua berturut-turut.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), CGC menyampaikan Anugerah Pelanggan Contoh kepada lima pelanggannya memiliki rekod pembayaran balik yang baik di atas kemudahan yang diberikan, selain turut menerima rebat jaminan fi dari CGC.

Berita Harian X