Selasa, 26 Jun 2018 | 5:34pm
KETUA Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Malaysia Berhad, Stuart Milne (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Malaysia Berhad, Oz Ahmed (kiri) bersama kakitangan mereka selepas pelancaran rasmi Cawangan HSBC Amanah Malaysia Sri Petaling hari ini. - Foto BERNAMA

Pembinaan ibu pejabat HSBC di TRX mendahului jadual

KUALA LUMPUR: HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC), antara pelabur dalam projek Tun Razak Exchange (TRX), gembira dengan perkembangan pembinaan bangunan ibu pejabatnya di zon kewangan itu yang mencatatkan kemajuan mendahului jadual, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Stuart Milne.

"Kami amat gembira dengan kemajuan itu dan akan memindahkan sebahagian perniagaan kami menjelang Disember 2020," katanya kepada pemberita selepas perasmian HSBC Amanah Malaysia Bhd cawangan Sri Petaling dekat Kuala Lumpur, semalam.

Pada Khamis lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menyuntik pembiayaan​​​​​​​ tambahan sebanyak RM2.8 bilion untuk memastikan penyiapan TRX bagi mengelakkan​​​​​​​ pembayaran pampasan RM3.51 bilion.

Milne berkata komitmen yang diberikan pihaknya adalah besar memandangkan mereka melabur lebih​​​​​​​ AS$250 juta atau RM1 bilion untuk ibu pejabat.

"Projek ini hampir selesai dan secara jelas kerajaan membuat keputusan tepat yang akan memastikan​​​​​​​ projek ini dapat disiapkan mengikut perancangan," katanya, sambil menambah kerajaan telah​​​​​​​ mengiktiraf bahawa TRX adalah projek yang baik.

Baru-baru ini, Guan Eng berkata projek TRX yang menjadi kontroversi itu akan diteruskan untuk menjana semula dana yang diselewengkan, membayar balik semua pinjaman, dan mendapatkan kembali semua​​​​​​​ pelaburan pembiayaan serta kerugian kos lalu.

Selain itu, Milne berkata HSBC Bank Malaysia menyasarkan untuk memperluaskan operasi Islam dan konvensionalnya di negara ini dengan merancang untuk melancarkan empat unit amanah baharu dan sukuk runcit.

HSBC Bank Malaysia mempunyai 68 cawangan di seluruh negara dengan 26 daripadanya adalah​​​​​​ cawangan HSBC Amanah.

-BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X