Selasa, 26 Jun 2018 | 5:12pm

T7 Global tinjau projek inftrastruktur Vincent Tan

KUALA LUMPUR: T7 Global Bhd meninjau peluang untuk terbabit dalam projek infrastruktur yang dibangunkan Tan Sri Vincent Tan selepas hartawan itu muncul sebagai salah seorang pemegang saham utamanya.

Syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu turut berharap untuk terbabit dengan projek mega kerajaan seperti kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Pemangku Pengerusinya, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani, berkata syarikat itu menyasar untuk mengembangkan kepakaran kejuruteraannya kepada projek infrastruktur pada masa depan, sekali gus akan membantu meningkatkan pendapatannya.

Selain kontrak kerajaan, beliau berkata, T7 Global juga berminat untuk mendapatkan sebahagian daripada projek pembangunan lapangan terbang di Pulau Tioman oleh Vincent Tan bernilai RM1.2 bilion serta projek infrastrukturnya yang lain jika mendapat kebenaran kerajaan untuk diteruskan.

"Kami sentiasa terbuka kepada peluang lain seperti HSR tetapi kami tidak hanya bergantung kepada kontrak kerajaan.

"Apa sahaja peluang yang ada kaitan dengannya (Vincent Tan), kami akan ambil. Kami akan berbincang perkara ini dengan beliau dan berharap untuk bekerjasama dengannya nanti," katanya kepada media selepas mesyuarat tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Nik Norzrul berkata, syarikat kini akan mempunyai tiga sumber pendapatan utama dan menyasar untuk meneroka lebih jauh dalam ketiga-tiga segmen itu.

"Apa yang kami harapkan ialah tiga segmen perniagaan ini (minyak dan gas, aeroangkasa dan pembuatan bernilai tinggi serta pembangunan infrastruktur) akan bergerak seiring pada kadar yang sama. Namun sudah tentu, projek infrastruktur utama akan menyumbang lebih tinggi (pendapatan)," katanya.

Vincent Tan kini adalah pemegang saham kedua terbesar syarikat dengan 5.01 peratus selepas Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Tan Kean Soon yang memiliki 11.28 peratus kepentingan.

Syarikat itu akan memulakan langkah pertamanya ke dalam projek pembangunan infrastruktur utama sebaik saja kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Ia telah memeterai memorandum persefahaman dengan syarikat berkaitan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corp Bhd dan CMC Engineering Sdn Bhd bagi membentuk sebuah konsortium untuk melaksanakan pembinaan projek ECRL.

Syarikat itu mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengkaji semula projek-projek infrastruktur utama kerana ia akan menghasilkan harga yang lebih kompetitif dan membolehkan syarikat sekurang-kurangnya mengetahui kos sebenar.

"Namun bagi syarikat, kosnya tetap sama kerana selagi melakukan kerja dan dibayar dengan keuntungan yang baik, kami akan terus melakukannya," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X