Ahad, 24 Jun 2018 | 4:21pm

Lendlease komited bangunkan Lifestyle Quarter Trx

KUALA LUMPUR: Lendlease memberi jaminan terhadap usaha mentransformasi Lifestyle Quarter di Tun Razak Exchange (TRX) kepada antara projek pembangunan semula perbandaran terbesar miliknya di peringkat global.

Firma pemaju dan infrastruktur Australia itu bekerjasama dengan TRX City Sdn Bhd yang dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan, bagi memajukan Lifestyle Quarter TRX.

"Projek bandar yang penting ini akan menyediakan beribu-ribu peluang pekerjaan baharu, teknologi terkini dan standard reka bentuk antarabangsa dan mapan terbaik yang menyumbang kepada masa depan Kuala Lumpur.

"Lifestyle Quarter itu termasuk kemudahan ke rangkaian Transit Aliran Massa dan menghubungkan plaza awam berhampiran. Usaha menyewa, mereka bentuk dan pembangunannya juga mencatat perkembangan positif," kata Lendlease di sini, hari ini.

Terletak di kawasan seluas 6.88 hektar, Lifestyle Quarter adalah projek utama dalam keseluruhan pelan induk pusat kewangan baharu TRX.

Ini termasuk pembangunan bercampur-campur seperti sebuah pusat beli-belah gaya hidup, restoran, hospitaliti dan santai, kondominium kediaman dan taman bandar yang baharu.

Mengikut Lendlease, projek itu akan dijalankan menerusi model perniagaan bersepadu yang akan dimanfaatkan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

"Lendlease telah menyiapkan projek di pelbagai sektor untuk lebih tiga dekad lamanya dan akan terus komited terhadap Malaysia. Malah, kami akan terus memperkukuhkan lagi kehadiran di negara ini.

"Kami juga terbuka kepada sebarang peluang pelaburan baharu yang mungkin ada selepas ini," katanya.

Pada Khamis, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek TRX dan menyuntik dana tambahan RM2.8 bilion ke dalam projek itu, menjadikan jumlah pembiayaan kerajaan kini mencecah RM6.5 bilion.

Guan Eng berkata, suntikan dana RM2.8 bilion juga dijangka mewujudkan keyakinan dalam kalangan pelabur yang telah melabur dalam projek tersebut.

TRX City menjual bidang tanah miliknya kepada pelabur tempatan dan asing seperti Mulia Property Development, HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Lendlease dan IJM.

- BERNAMA

Berita Harian X