Rabu, 20 Jun 2018 | 1:37pm
RAFIQ Razali (dua, kanan) dan Sean Goh (dua, kiri) bertukar dokumen selepas majlis menandatangani MoU di Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Salhani Ibrahim

Platform Media Dalam Kereta Grab

KUALA LUMPUR: Media Prima Digital (MPD) menyasarkan untuk meluaskan capaian pengguna dan menguatkan posisi sebagai peneraju digital pertama di negara ini menerusi kerjasama pemasangan Platform Media Dalam Kereta Grab.

Kerjasama dengan Grab Malaysia (Grab) itu membolehkan pemandu dan pengguna aplikasi Grab menonton kandungan yang disediakan daripada pelbagai platform Media Prima.

Ketua Eksekutif MPD, Rafiq Razali, berkata kerjasama berkenaan juga berpotensi memberikan pulangan dalam bentuk perolehan iklan apabila lebih ramai pengguna Grab mendapat akses tontotan berkenaan.

Katanya, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat daripada kerjasama berkenaan tetapi ia bukan matlamat utama yang ditetapkan dalam jangka panjang.

"Kami mahu menambah jumlah penonton untuk kandungan yang disediakan oleh Kumpulan Media Prima dan dengan bertambahnya jumlah kereta yang dipasang dengan platform ini, maka ia membawa peluang yang lebih besar untuk mendapat lebih ramai penonton.

"Kami juga akan memantau maklum balas dan respons pengguna dalam tempoh enam bulan akan datang dan MPD bertuah kerana kami dapat menjalin kerjasama dengan rakan perniagaan yang kukuh seperti Grab," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berhubung kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Negara Grab, Sean Goh. Pada masa ini, sebanyak 250 kereta Grab di sekitar Lembah Klang telah dilengkapi dengan platform media berkenaan.

Mengulas lanjut, Sean berkata pihaknya menyasarkan lebih 1,000 kereta Grab akan dilengkapi dengan platform media berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, kerjasama berkenaan dapat memberikan nilai tambah dan pengalaman dalam kereta yang selesa dan bagus kepada pengguna dan pemandu Grab.

"Grab juga akan bekerjasama dengan pemandu dan rakan perniagaan yang lain bagi memastikan kelengkapan peranti dalam kereta supaya pengguna dapat mengalami pengalaman tontonan dan pemanduan yang lancar.

"Dalam masa yang sama, Grab juga akan berkongsi pandangan seperti lokasi tumpuan dalam memahami pola perjalanan pengguna Grab," katanya.

Menerusi kerjasama berkenaan, pengguna Grab kini boleh menikmati kandungan terbaharu setiap minggu merangkumi empat segmen utama iaitu gaya hidup, hiburan, sukan dan juga berita.

INFO:

*Antara kandungan yang bakal ditayang adalah video gaya hidup SAYS, Buletin TV3 dan program bual bicara Kata Serasi.

Berita Harian X