Rabu, 13 Jun 2018 | 5:05pm

Grab umum Toyota sebagai pelabur utama

KUALA LUMPUR: Grab Holdings Inc (Grab), platform mudah alih O2O (atas talian dan luar talian) terkemuka di Asia Tenggara mengumumkan persetujuan dengan Toyota Motor Corporation (Toyota) untuk melabur AS$1 bilion (RM4 bilion) sebagai pelabur utama dalam pusingan pembiayaan berterusannya.

Sebagai sebahagian dari perjanjian itu, Grab dan Toyota akan mengukuhkan dan mengembangkan kerjasama sedia ada mereka di kawasan yang dihubungkan untuk memacu pelaksanaan penyelesaian mobiliti baru di Asia Tenggara.

Presidennya, Ming Maa, berkata pelaburan daripada Toyota itu adalah yang terbesar oleh pengilang automotif dalam sektor pengangkutan global di mana ia akan membawa Grab lebih dekat untuk mencapai visi menjadi platform mobiliti sehenti di Asia Tenggara.

"Kami merancang untuk berkerjasama dengan rakan-rakan untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan yang lebih cekap dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Asia Tenggara, sekali gus menjadikan akses mudah alih boleh dicapai semua individu serta menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan kepada rakan pemandu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaburan Toyota dalam Grab itu juga adalah berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan syarikat dalam memacu pelaksanaan penyelesaian mobiliti baru dan memperluaskan perkhidmatan mudah alih O2O seperti GrabFood dan GrabPay di rantau ini.

Menurutnya, Grab adalah syarikat pemula teknologi pertama di rantau Asia Tenggara yang mencapai kadar pendapatan lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) merentasi penetapan asas mudah alih yang melebihi 100 juta pengguna.

"Peningkatan pengguna dan pertumbuhan pendapatan adalah bukti keupayaan kami untuk menempatkan, melaksanakan dan menyediakan platform kecekapan paling tinggi di rantau Asia Tenggara," katanya.

Grab akan bekerjasama dengan Toyota mengenai bagaimana perkhidmatan kereta terhubung di Platform Perkhidmatan Mobiliti Toyota (MSPF) seperti insurans berasaskan pengguna, program pembiayaan dan penyelenggaraan jangkaan yang boleh memperkayakan pengalaman Grab untuk pemandu di platform Grab.

Kedua-dua pihak juga akan melancarkan perkhidmatan kereta yang terhubung seperti insurans berasaskan telematik di mana ia boleh mengurangkan kos premium insurans untuk pemandu Grab yang lebih selamat.

Untuk mengukuhkan kerjasama strategik, seorang eksekutif Toyota akan dilantik ke lembaga pengarah Grab dan ahli pasukan Toyota yang berdedikasi akan dipinjamkan ke Grab sebagai pegawai eksekutif.

24 dibaca
Berita Harian X