Jumaat, 8 Jun 2018 | 3:33pm

Sime Property mahu teruskan projek MVV

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (Sime Property) sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menentukan arah tuju pembangunan projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Pada minggu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu dilantik, Aminuddin Harun dan ahli majlis eksekutif beberapa negeri terbabit sudah menyatakan bahawa mereka akan membincangkan projek MVV dengan Kabinet Persekutuan, sebelum membuat sebarang keputusan.

"Memorandum Persefahaman (MoU) pembangunan MVV yang dimeterai pada Mei 2017 dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Brunsfield Development Sdn Bhd sudah tamat akhir tahun lalu," kata Pengarah Urusan SD Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

"Jadi, kami ingin mendapatkan kelulusan baharu mengenai MVV kerana inisiatif awam-swasta dengan KWAP dan Brunsfield tamat," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa SD Property di sini, petang semalam.

"Awal minggu ini, kami bertemu dengan Menteri Besar (Negeri Sembilan), Aminuddin Harun dan maklum balas memberangsangkan kerana MVV adalah pemacu bagi Negeri Sembilan," katanya.

"Kami akan bertemu dengan Kerajaan Persekutuan, terutamanya mengenai kelulusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan pengangkutan.

"Pada peringkat ini, adalah masih awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai projek MVV," katanya.

Tiga tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2016, mengumumkan pembangunan MVV, lembah pembangunan ekonomi bersepadu meliputi bahagian barat Negeri Sembilan dan selatan Selangor.

Dengan kawasan cadangan 130,000 ekar atau kira-kira 75 peratus saiz Singapura, pembangunan itu akan merangkumi kawasan bandar seperti Nilai, Seremban dan Port Dickson.

Projek 30 tahun itu dijangka menarik kira-kira RM290 bilion pelaburan, mewujudkan 1.38 juta pekerjaan baharu dan menjana antara 6.2 peratus hingga 7.3 peratus pertumbuhan ekonomi tahunan.

Projek MVV termasuk pembangunan lima kluster strategik iaitu Lembah Pendidikan-Teknologi, Pelancongan dan Kesihatan, perbandaran baharu, daerah perniagaan pusat dan bandar alam semula jadi.

Mengenai pembatalan oleh kerajaan semasa terhadap projek rel berkelajuan tinggi KL-Singapura, Amrin memberitahu bahawa rancangan stesen Pagoh dan Labu terletak dalam tanah milik Sime Property.

Amrin berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan sedia ada iaitu Bandar Universiti Pagoh yang mana ia adalah hab pendidikan pelbagai universiti pertama di Malaysia.

"Tanah kami di antara Nilai dan Labu juga berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Nilai, Labu dan Bandar Enstek yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Corak aliran pertumbuhan Greater Kuala Lumpur ke arah selatan akan membawa pembangunan pemangkin yang diringkaskan oleh Projek MVV," tambahnya .

Berita Harian X