Rabu, 6 Jun 2018 | 1:43pm
PENGARAH Urusan Kumpulan LBS Bina Group Bhd, Tan Sri Lim Hock San. - Foto Mahzir Mat Isa

LBS sasar jualan RM1.8 bilion

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd, pemaju hartanah terkemuka optimis untuk mencapai sasaran jualan RM1.8 bilion tahun ini, menerusi prestasi cemerlang jualan hartanah baharu berjumlah RM723 juta bagi tempoh Januari hingga 5 Jun 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San, berkata kumpulan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 62 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM443 juta.

"Ia disokong oleh 18 projek sedang dalam pembinaan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.95 bilion termasuk dua projek utama di Alam Perdana, Puncak Alam dan Cyber South, Dengkil.

"Semua 2,884 unit merangkumi rumah teres dan Semi-D di Alam Perdana sudah pun habis dijual dan projek di Cyber South dengan GDV RM488 juta akan dilancarkan September ini dijangka turut memberi sumbangan besar kepada pendapatan syarikat," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung LBS Bina di sini, hari ini.

Jumlah tanah simpanan LBS Bina ketika ini ialah 4,170 ekar dengan GDV masa depan adalah RM30 bilion.

Mengulas lanjut mengenai pembatalan projek Aliran Transit Massa 3 (MRT 3), Hock San berkata, keputusan itu tidak memberi kesan kepada pemaju itu kerana kebanyakan projek tidak dibangunkan berhampiran stesen yang dicadangkan.

Katanya, pembatalan projek itu adalah satu langkah tepat dalam usaha mengawal hutang negara dan menjimatkan kos pentadbiran kerajaan.

"Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar juga dijangka akan mengurangkan harga bahan mentah sekali gus membolehkan pemaju menimbang untuk mengurangkan harga jualan kediaman," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa pentadbiran baharu mengkaji semula syarat kelayakan pinjaman perumahan dengan melonggarkan syarat sedia ada.

"Di LBS sahaja, kami merekodkan 45 peratus pembatalan pembelian berikutan kegagalan pembeli mendapatkan pinjaman perumahan.

"Mereka suka dan mahu beli tetapi terdapat halangan seperti syarat bank yang terlalu ketat. Jadi, saya harap Bank Negara Malaysia (BNM) dapat pertimbangkan perkara ini sewajarnya," katanya.

Berita Harian X