Isnin, 21 Mei 2018 | 4:51pm

Grab tingkat kaedah pembayaran tanpa tunai

KUALA LUMPUR: Grab menjalin kerjasama strategik dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) dalam mempertingkat kaedah pembayaran tanpa tunai melalui servis dompet mudah alih terbaru, GrabPay.

Pengarah Urusan GrabPay Singapura, Malaysia dan Filipina, Ooi Huey Tyng, berkata usaha sama itu menyaksikan pengukuhan dalam pendekatan yang dilaksanakan oleh Grab.

Beliau berkata, keseluruhan industri perlu bersama dalam menuju ke arah ekonomi tanpa tunai dan menjadikannya satu realiti di Malaysia.

"Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Maybank yang bukan saja berkongsi visi pembayaran tanpa tunai masa depan yang sama, malah mengiktiraf idea Grab untuk mengubahnya menjadi realiti.

"Dengan GrabPay sebagai kaedah pembayaran utama di aplikasi Grab, ia turut membina ekosistem yang saling berkaitan sehingga menjadikan Grab sebagai aplikasi bagi kegunaan harian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Inisiatif untuk memperkenalkan GrabPay dilakukan apabila syarikat e-panggilan itu mendapat lesen wang elektronik daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada Disember 2017.

Selain itu, dengan jalinan kerjasama antara Grab dan Maybank, pengguna Grab boleh menggunakan aplikasi itu pada pedagang utama Maybank dan juga GrabPay.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata perkara berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan dalam menyediakan pelanggannya dengan kemudahan digital bagi meningkatkan pengalaman dan gaya hidup.

Katanya, pihaknya akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang menawarkan nilai lebih baik melalui pendekatan teknologi dan memahami kehendak pelanggan.

"Pelanggan Maybank juga boleh menikmati pengalaman perkhidmatan yang menyeluruh apabila membuat transaksi melalui GrabPay dan memperoleh ganjaran serta penjimatan lain," katanya.

Dengan aplikasi Grab, pengguna bukan saja dapat mengakses servis pengangkutan malah lain-lain perkhidmatan yang memenuhi gaya hidup pengguna seperti tempahan makanan, bayaran pembelian barang dan pemindahan wang.

Selain itu, kerjasama dua pihak itu turut mempelbagaikan servis lain seperti pengguna boleh menambah nilai dompet mudah alih itu menerusi Maybank2U.

55 dibaca
Berita Harian X