Jumaat, 18 Mei 2018 | 2:40pm
PENGURUS Grab Malaysia Sean Goh - Foto Rohanis Shukri
Pengurus Grab Malaysia Sean Goh ketika memberi taklimat berkenaan Grab memperkenalkan visi sebagai aplikasi seharian untuk pengguna di Pejabat Grab Malaysia hari ini.. - Foto BERNAMA

Perkhidmatan Grab lebih menyeluruh

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan e-panggilan, Grab menyasarkan untuk menjadi peneraju perkhidmatan mobiliti bersepadu di Asia Tenggara, menerusi satu aplikasi mudah alih.

Rancangan itu membabitkan visinya mengukuhkan mobiliti perkhidmatan yang lebih menyeluruh dengan menawarkan pakej penghantaran makanan yang dikenali sebagai GrabFood, bayaran tanpa tunai melalui GrabPay, perkhidmatan berkaitan kewangan, selain produk sedia ada lain.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh, berkata rancangan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat yang akan dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, dengan membina platform bagi kepentingan gaya hidup pengguna, Grab pada masa sama mendapat manfaat dari seluruh ekosistem yang menghubungkan pelanggan, pemandu, peniaga dan pihak penghantaran.

"Kami mahu memperkasakan bandar pintar masa depan dalam kalangan pengguna Grab kerana keterhubungan ini dapat membantu semua pihak untuk terus berkembang pesat.

"Grab bermula dengan menjadikan sistem pengangkutan lebih cekap, dan kini tiba masa kami memperkenalkan GrabFood pada hujung Mei ini dan GrapPay sebagai dompet elektronik, tidak lama lagi," katanya pada sesi taklimat Grab di sini, hari ini.

Grab sejak Mac tahun ini mula mengambil alih operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc, yang membolehkannya melaksanakan integrasi dengan perniagaan perkongsian perjalanan dan penghantaran makanan Uber melalui platform pengangkutan pelbagai modal dan teknologi kewangan sedia adanya.

Ia mempunyai kehadiran di lapan negara dan 209 bandar di rantau ASEAN, selain perkhidmatan kepada enam juta penumpang sehari dan lebih 95 juta muat turun aplikasi mudah alih serta kerjasama dengan enam juta usahawan mikro.

Goh berkata, bagi melengkapkan kehadirannya di rantau berkenaan, pihaknya masih meninjau untuk menjalin usaha sama dan operasi di Brunei dan Laos.

Mengulas mengenai sama ada Grab akan memonopoli pasaran e-panggilan, beliau berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan pelbagai usaha dalam memperkukuh perniagaannya dan tidak timbul isu menjadi syarikat yang monopoli.

"Kami juga mempunyai persaingan kerana terdapat banyak pengangkutan awam turut disediakan di negara ini serta pengguna yang lebih berminat untuk menggunakan kenderaan sendiri," katanya.

Selain itu, Goh berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk mewujudkan sehingga 100 juta usahawan mikro menjelang 2020 dengan keupayaan platform teknologi kewangannya yang dipertingkatkan.

140 dibaca
Berita Harian X