Jumaat, 4 Mei 2018 | 2:48pm
LIM Yew Hoe ketika taklimat pengumuman keputusan setengah tahun kewangan syarikat di Fraser Residences, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof

Hasil jualan diunjur kukuh prestasi kewangan F&N

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) mengunjurkan prestasi kewangannya akan mengukuh pada separuh kedua tahun ini didorong oleh hasil jualan pada musim perayaan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe, berkata trend itu adalah kebiasaan bagi syarikat makanan dan minuman (F&B) kerana jualan pada musim perayaan menyumbang angka tertinggi kepada hasil jualan keseluruhan.

"Pada separuh tahun pertama berakhir 31 Mac 2018, kami memperlihatkan jualan domestik didorong oleh keberkesanan pemasaran dan jualan promosi pada sambutan Tahun Baru Cina.

"Malah, kami juga mencatatkan pertumbuhan dua angka pada eksport. Untuk sambutan Hari Raya ini, kami bakal memperkenalkan produk baharu dan jangka ia akan mendorong jualan F&N," katanya pada Taklimat Media F&N, di sini, hari ini.

Prestasi kewangan sepatuh tahun pertama menyaksikan keuntungan bersih F&N susut 14.9 peratus kepada RM199.4 juta berbanding tempoh sama 2017, manakala pendapatan kekal RM2.08 bilion.

Yew Hoe berkata, prestasi itu menerima impak daripada penyusutan pasaran dalam kategori minuman di Malaysia serta banjir Semenanjung Malaysia dan Sabah pada suku pertama.

"Prestasi setengah tahun pertama kami mencerminkan persekitaran semasa mencabar di Malaysia dan Thailand bagi perniagaan minuman dan produk tenusu.

"Ia ditambah dengan sentimen lemah pengguna yang berpanjangan, harga bahan mentah dan pembungkusan lebih tinggi serta persaingan lebih sengit," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, F&N bercadang bahagian pasaran sedia diminum dengan memperkenalkan portfolio produk pilihan lebih sihat, 100 Plus Kurang Gula dengan hanya empat peratus gula iaitu terendah dalam industri.

"Sejak diperkenalkan pada 1983, 100 Plus sudah berkembang menjangkaui segmen minuman untuk menjadi pilihan isotonik dengan bahagian pasaran 90 peratus.

"Produk terbaharu F&N, 100 Plus Kurang Gula dengan hanya empat peratus gula iaitu terendah dalam industri, akan mengukuhkan portfolio produk lebih sihat 100 PLus dan meluaskan pencapaian jenama.

Sementara itu, selari dengan prestasi kumpulan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 27 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2018.

Dividen berjumlah RM99 juta itu akan dibayar pada 7 Jun ini.

23 dibaca
Berita Harian X