Khamis, 3 Mei 2018 | 10:50am

CEO AirAsia India letak jawatan

NEW DELHI: Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia India, Amar Abrol meletak jawatan selepas berkhidmat hampir dua tahun dan akan kembali ke Malaysia untuk ditempatkan di ibu pejabat kumpulan itu.

"Abrol menyatakan hasrat kembali ke Malaysia untuk lebih dekat dengan keluarga. Lembaga Pengarah AirAsia India berterima kasih di atas sumbangannya dan akan bekerjasama rapat untuk memastikan peralihan ini berjalan lancar," kata AirAsia India dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum berkhidmat sebagai CEO AirAsia India, iaitu syarikat usaha sama AirAsia Bhd dan konglomerat India, Tata Sons, Abrol adalah CEO Tune Money.

Beliau menggantikan Mittu Chandilya, individu yang dipilih oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes pada 2013 untuk mengetuai AirAsia India.

Abrol, 50, yang juga akauntan bertauliah akan ditempatkan di ibu pejabat AirAsia Group di Kuala Lumpur, di mana beliau akan memberi tumpuan kepada projek strategik bermula Jun, kata syarikat itu dengan menambah di bawah kepimpinannya, AirAsia India berkembang tiga kali ganda dari segi pesawat, kakitangan dan rangkaian.

AirAsia India, yang memulakan operasi pada pertengahan 2014, memiliki 18 pesawat dan terbang ke 19 destinasi di India.

Syarikat penerbangan itu mengendalikan lebih 1.46 juta penumpang antara Januari hingga Mac tahun ini dan merekodkan kapasiti muatan 83 peratus.

Penerbangan tambang rendah itu bersaing dengan IndiGo, SpiceJet dan GoAir dalam pasaran perjalanan udara India. - BERNAMA

Berita Harian X