Rabu, 2 Mei 2018 | 4:01pm
PENGARAH Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali (dua kiri) menyerahkan replika kunci kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor (empat kiri) selepas Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Airports dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Depoh Simpanan Kenderaan Tunda IPD KLIA. - NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

MAHB menilai kontrak O&M Lapangan Terbang Antarabangsa Clark

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) belum menerima jemputan rasmi daripada Bases Conversion and Development Authority (BCDA) di Filipina berhubung cadangan mengurus dan mengendali (O&M) Lapangan Terbang Antarabangsa Clark di negara itu, kata Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan penilaian terperinci terlebih dulu sebelum membuat keputusan sama ada akan memasuki bida untuk mendapatkan kontrak O&M itu.

"Kami akan menjalankan penilaian sendiri berhubung usaha sama itu.

"Tidak. Kami belum lagi menerima jemputan rasmi," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAHB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Laporan sebelum ini menyebut, kerajaan Filipina dijangka melancarkan proses bidaan bagi kontrak O&M Lapangan Terbang Antarabangsa Clark pada suku kedua tahun ini.

Menurut laporan itu, BCDA yang adalah pihak berkuasa lapangan terbang Filipina, sudah memaklumkan kepada MAHB berhubung cadangan bida itu.

Kontrak O&M bagi tempoh 25 tahun itu dianggarkan bernilai PHP15 bilion (sekitar RM1.1 bilion).

Terdahulu Badlisham dalam ucapannya berkata, MoU itu bertujuan mempergiatkan kerjasama penguatkuasaan penundaan kenderaan bagi memastikan kelancaran aliran trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada majlis sama beliau turut merasmikan Depoh Simpanan Kenderaan Tunda IPD KLIA.

Sementara itu, Mazlan berkata MoU itu berkuatkuasa serta merta bagi tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, sebuah kenderaan tunda diperuntukkan bagi tujuan menunda yang mana kenderaan yang ditunda itu akan dibawa ke depoh simpanan bagi tujuan tuntutan semula.

Penalti tunai akan dikenakan sebelum kenderaan dapat dituntut.

Berita Harian X