Isnin, 23 April 2018 | 2:07pm

Khazanah akan labur dalam Ping An Good Doctor

HONG KONG: Tawaran awam permulaan (IPO) Ping An Good Doctor, anak syarikat firma insurans terbesar China berasaskan nilai pasaran, menarik pelabur utama termasuk GIC Pte dan Khazanah Nasional Bhd.

Ia dijangka menjana dana sehingga AS$1.1 bilion (RM4.29 bilion) sempena penyenaraiannya di bursa saham Hong Kong.

Platform penjagaan kesihatan dalam talian China itu menawarkan kira-kira 160 juta saham pada harga HK$50.80 hingga HK$54.80 seunit, demikian menurut data yang diterima Bloomberg.

Anak syarikat Ping An Insurance (Group) Co itu akan mengambil tempahan pelabur mulai Isnin sehingga 26 April 26, demikian menurut terma tawaran itu.

Ping An Insurance membuat persiapan penyenaraian unit teknologinya selepas harga saham syarikat insurans itu menokok lebih 90 peratus sejak 12 bulan lalu, menjadikan nilai pasarannya sekitar AS$188 bilion (RM732.54 bilion).

Tujuh pelabur utama, atau 'cornerstone investor' bersetuju membeli kira-kira AS$550 juta saham dalam penawaran Good Doctor, demikian menurut terma itu.

BlackRock Inc akan melabur kira-kira AS$125 juta, manakala dana kedaulatan Singapura GIC dan Canada Pension Plan Investment Board setiap satu bersetuju membeli AS$100 juta saham.

Khazanah, Swiss Re AG, pengurus aset Amerika Syarikat (AS) Capital Group Co dan CP Group dari Thailand juga akan membeli dalam penawaran itu.

Pelabur itu bersetuju memegang saham yang dibeli untuk tempoh enam bulan sebagai pertimbangan bagi jaminan peruntukan itu.

Good Doctor, yang sebelum ini dikenali sebagai Ping An Healthcare & Technology Co, mensasar mengumumkan harga tawaran pada 26 April waktu AS dan mula didagangkan pada 4 Mei.

Citigroup Inc dan JPMorgan Chase & Co adalah penganjur bersama IPO itu.- Bloomberg

20 dibaca
Berita Harian X