Ahad, 22 April 2018 | 6:03pm
Pengarah Urusan Produk Tunai Citi Malaysia, Noel Saminathan ketika taklimat kewangan pada Citi Digital Forum 2018 di Hotel Hilton Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

Citibank bank pertama capai status khidmat digital penuh

KUALA LUMPUR: Citibank Bhd yakin urus niaga korporatnya akan beroperasi secara digital sepenuhnya menjelang tahun depan, menjadikannya sebagai bank pertama di negara ini yang mencapai status perkhidmatan digital penuh.

Ia bakal dilaksanakan memandangkan kebanyakan syarikat tempatan lain kini sedang berusaha ke arah pendigitalan.

Pengarah Urusan Pengurusan Produk Tunai ASEAN dan Ketua Negara Malaysia, Noel Saminathan, berkata industri korporat di Malaysia beralih dengan pantas ke arah digital dengan 98 peratus urus niaga korporatnya kini sudah bertukar kepada digital, berbanding hanya kira-kira 60 peratus sedekad lalu.

"Kami yakin pada 2019, Citibank akan menjadi penyedia perkhidmatan digital sepenuhnya untuk urus niaga korporat dan saya difahamkan, masih tiada lagi bank di Malaysia yang mencapai perkhidmatan digital sepenuhnya," katanya di luar acara Forum Digital Citi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Peratusan yang tinggi dalam transaksi digital dipacu oleh segmen korporat di tiga cawangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang beroperasi sepenuhnya secara digital, apabila pelanggan tidak lagi perlu mengunjungi cawangan fizikal untuk melakukan urusan.

Noel berkata, Citibank melabur kira-kira AS$100 juta (RM389 juta) setahun di seluruh dunia dalam segmen urus niaga korporat dalam usaha menawarkan perkhidmatan lebih pantas dan menyeluruh kepada pelanggan.

Katanya, penekanan aktiviti digitalisasi ini sangat penting, dengan kerajaan meramalkan sekurang-kurangnya 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang oleh ekonomi digital menjelang 2020.

Dalam perkembangan lain, katanya Citibank turut menyokong penuh inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memacu penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran).

"Ketika ini, kira-kira 50 peratus pembayaran dilakukan menerusi saluran e-pembayaran dan sebahagian besar masih lagi bergantung pada tunai dan cek," katanya.

Katanya, Malaysia mampu mencapai penggunaan e-pembayaran yang lebih luas, sama seperti pembayaran berasaskan tunai di China yang mengubah sistem pembayarannya.

"Fokus ketika ini adalah mengurangkan penggunaan tunai, terutamanya untuk urus niaga kecil seperti di gerai atau kedai runcit. Di sinilah kesedaran untuk menggunakan e-dompet muncul apabila banyak aplikasi e-dompet muncul ketika ini antaranya WeChat Pay, MaxisPay dan BigPay AirAsia," katanya.

Noel turut mengalu-alukan langkah BNM untuk melancarkan Platform Pembayaran Runcit (RRP) pada September ini, yang merangkumi pelan sistem kod QR standard.

"Apabila ia dilancarkan, tiada lagi alasan bagi sesiapa sahaja yang memiliki telefon pintar tidak menggunakan e-pembayaran.

"Ini kerana menerusi sistem itu setiap individu akan mengimbas kod QR dan melakukan pembayaran secara langsung dari akaun bank sekali gus memberi kesan ketara dalam usaha mengurangkan penggunaan tunai," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X