Rabu, 18 April 2018 | 3:09pm
AZWAN Khan Osman Khan (dua kiri) bersama Ketua Pemasaran (Prabayar dan Pascabayar) Celcom Axiata Berhad, Daren Victor (tiga kiri) ketika melancarkan "Xactly You With XPax di Pusat membeli belah Pavillion. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Xpax baharu Celcom tawar 50 peratus lebih internet

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd komited untuk menarik lebih ramai pelanggan daripada golongan muda menerusi pengenalan pelan prabayar dan pascabayar Xpax yang diperbaharui.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azwan Khan Osman Khan, berkata Xpax adalah pelan prabayar utama Celcom dengan kira-kira tujuh juta pelanggan.

Katanya, kali ini pengguna Xpax bebas memiliki pelan mengikut cita rasa mereka sendiri termasuk 50 peratus lebih banyak internet untuk semua pelan internet bulanan dan fleksibiliti bagi memilih sama ada pelan pascabayar atau prabayar.

"Xpax telah diberi nafas baru yang lebih segar dalam memberi pengalaman pengguna yang lebih hebat dan menawarkan fleksibiliti serta kebebasan kepada pelanggan.

"Seiring dengan usaha memperkasa pengalaman digital pengguna, kami membolehkan pelanggan memilih cara mereka sendiri dalam menyesuaikan dan memperibadikan pelan yang dipilih selari dengan gaya hidup mereka," katanya di majlis pelancaran Xactly You With Xpax di sini, hari ini.

Dengan pek permulaan Xpax (RM10), pelanggan boleh menikmati internet asas 10GB percuma, kredit prabayar RM6 dan bonus internet pengaktifan sebanyak 300MB dengan tempoh sah lima hari.

Selain itu, pelanggan diberi kebebasan memilih satu ganjaran bulanan percuma setiap bulan sama ada 10GB Facebook, 10GB Instagram, 3GB YouTube, atau Whatsapp, WeChat dan Twitter berkelajuan tinggi tanpa had.

Bagi pascabayar internet bulanan Xpax Youth, dua pelan ditawarkan iaitu RM50 dengan 15GB internet dan RM79 dengan 22.5GB internet.

Azwan Khan berkata, Xpax Youth ditawarkan kepada pengguna berusia 25 tahun ke bawah yang mencari pelan pascabayar pada komitmen mampu milik tetapi didatangkan dengan pelan internet lebih menarik. Malah,

Celcom menyediakan tawaran istimewa pelan pascabayar Xpax iaitu diskaun 50 peratus untuk peranti terpilih serendah RM199, iPhone 6 serendah RM29 sebulan dengan pelan ansurans EasyPhone.

Untuk maklumat lanjut boleh berkunjung ke Celcom bluecube berdekatan dan wakil sah atau layari www.celcom.com.my/personal/prepaid.

Berita Harian X