Isnin, 9 April 2018 | 4:04pm
KETUA Eksekutif HSBC Malaysia, Mukhtar Hussain.

HSBC lantik Mukhtar Hussain Ketua BRI Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Hongkong dan Shanghai Banking Corporation (HSBC) Ltd melantik Ketua Eksekutif HSBC Malaysia, Mukhtar Hussain, ke jawatan yang baru diwujudkan, Ketua Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Asia-Pasifik, berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini HSBC berkata menerusi jawatan baharu itu, Mukhtar akan mengetuai inisiatif dan hubungan utama untuk mengembangkan perniagaan BRI Asia dan memacu usaha sama perniagaan global dan meluaskan operasi di peringkat antarabangsa.

"Kami adalah bank antarabangsa utama di Malaysia dan menerusi kepimpinan Mukhtar sejak lebih lapan tahun lalu, kami berjaya melaksanakan strategi pertumbuhan negara dan pada masa yang sama menyokong pelanggan dengan peluang merentas BRI dan ASEAN.

"Ini menjadikan beliau orang yang paling sesuai untuk mengetuai strategi dan pelan pertumbuhan BRI untuk fasa yang berikutnya," kata Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif, Peter Wong.

Kumpulan itu berkata, Mukhtar akan berpindah ke Hong Kong untuk jawatan baharu itu dan akan terus melapor diri kepada Wong.

Pengumuman mengenai pengganti beliau akan dibuat tidak lama lagi.

Mukhtar menyertai HSBC pada 1982 dan sepanjang 36 tahun bersama bank itu, beliau bertugas dalam pelbagai perniagaan dan geografi, termasuk di United Kingdom, Timur Tengah dan Afrika Utara,

Ia berkata jawatan terakhirnya ialah sebagai Timbalan Pengerusi HSBC Bank Middle East Ltd dan Ketua Pegawai Eksekutif Global HSBC Amanah.

Beliau juga ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global dan Pasaran bagi Timur Tengah dan Afirka Utara, diikuti sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan HSBC di Malaysia sejak 2009.

-BERNAMA

Berita Harian X