Khamis, 5 April 2018 | 4:00pm
DATUK Seri Ibrahim Ahmad Badawi (kiri) dan Nur Fatin Ibrahim di MIHAS 2018. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Brahim's sasar produk OEM ke Eropah, Jepun, AS

KUALA LUMPUR: Kumpulan Brahim's berhasrat untuk memperkukuh perniagaannya bagi segmen pengeluaran produk tulen (OEM) khusus ke pasaran eksport ke Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Urusan Kumpulan Brahim's Dewina Holdings Sdn Bhd (Brahim's), Nur Fatin Ibrahim, berkata permintaan tinggi terhadap produk OEM dengan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah memberangsangkan, menjadikannya peluang perniagaan yang baik kepada syarikat.

Beliau berkata, antara produk OEM yang dihasilkan adalah bagi pelanggan luar negara dalam penghasilkan produk makanan dengan pelbagai jenis pembungkusan seperti botol dan paket biasa.

"Tumpuan kepada tiga pasaran di Eropah, Jepun dan AS adalah peluang cerah kepada syarikat kerana ia membuktikan Brahim's sebagai pengeluar produk makanan halal yang dipercayai.

"Dengan 30 tahun pengalaman dalam industri makanan sedia dimakan (MRE) dan halal, kami mahu terus menawarkan produk yang ringkas dan memenuhi kehendak semua pelanggan," katanya pada majlis pengenalan Kafe Mobil berkuasa solar pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Majlis sama menyaksikan Brahim's memperkenalkan Kafe Mobil dengan kuasa solar sebagai salah satu segmen perniagaan baru menyasarkan rakan kongsi dari kalangan usahawan.

Ibrahim berkata, buat masa ini Kafe Mobil berkenaan masih pada peringkat prototaip dan hanya ada seunit.

"Kami menjangkakan untuk mengeluarkan antara tiga hingga lima Kafe Mobil pada tahun ini yang bakal dikendalikan oleh usahawan khususnya yang baru ingin menceburi dunia perniagaan," katanya.

Menurutnya, usahawan yang berminat boleh berhubung dengan Kumpulan Brahim's, dengan modal permulaan bagi inisiatif itu antara RM300,000 hingga RM400,000.

Selain itu, bagi memperkukuh kedudukannya dalam sektor pengeluaran makanan halal, Kumpulan Brahim's juga mempunyai pek makanan kembara untuk memenuhi gaya hidup pelanggan yang aktif.

Setakat ini, Kumpulan Brahim's mempunyai lebih 40 produk makanan yang boleh didapati di 30 negara termasuk Kanada, AS, Perancis, Itali, Filipina, Jepun dan Singapura.

Berita Harian X