Isnin, 26 March 2018 | 5:07pm

Grab ambil alih operasi Uber Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Grab, penyedia perkhidmatan e-panggilan Asia Tenggara mengambil alih operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc.

Perjanjian terbesar seumpamanya di Asia Tenggara itu akan menyaksikan Grab melaksanakan integrasi dengan perniagaan perkongsian perjalanan dan penghantaran makanan Uber di rantau terbabit melalui platform pengangkutan pelbagai modal dan teknologi kewangan sedia adanya.   

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama dan Ketua Eksekutif Kumpulan Grab, Anthony Tan, berkata, pengambilalihan itu menandakan permulaan era baru di mana penggabungan itu menyaksikan ia menjadi peneraju dalam platform dan kecekapan kos di rantau ini. 

"Melalui penggabungan itu, Grab akan menjadi platform mudah alih atas talian ke luar talian (O2O) pertama di Asia Tenggara dan pemain utama dalam segmen penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.  

Pengambilalihan itu akan membolehkan Grab menyediakan perkhidmatan asas bagi penjagaan pelanggan paling banyak di rantau ini dengan membabitkan segmen pengangkutan selamat dan berpatutan, penghantaran bungkusan dan makanan, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan.  

Beliau berkata, Grab akan mengembangkan perniagaan GrabFood sedia adanya di Indonesia dan Thailand kepada dua lagi negara iaitu Singapura dan Malaysia.

Ia berikutan integrasi perniagaan Uber Eats dengan GrabFood yang dijangka berada di semua negara utama Asean menjelang separuh pertama 2018.  

Untuk segmen pengangkutan, Grab akan mengembangkan tawaran pengangkutannya dengan membabitkan lebih banyak lagi perkhidmatan pengangkutan tempatan dan penyelesaian mobiliti baru dengan kerjasama pembekal pengangkutan dan pembuat kereta lain.  

"Kami juga akan berkerjasama dengan kerajaan dan operator pengangkutan awam bagi menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu," katanya.    

Dalam masa sama, Grab akan meningkatkan dan meluaskan tawaran di bawah Grab Financial termasuk pembayaran mudah alih, pembiayaan mikro, insurans dan perkhidmatan kewangan lain bagi pelanggan yang kurang diberi perhatian, usahawan mikro dan perniagaan kecil di rantau Asia Tenggara. 

"GrabPay sebagai dompet mudah alih akan boleh didapati di semua negara utama di rantau Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini," katanya.  

Untuk meminimumkan gangguan, Grab dan Uber akan bekerjasama bagi memindahkan segera pemandu dan penumpang Uber, pelanggan Uber Eats, rakan perniagaan dan penghantaran ke platform Grab. 

Aplikasi Uber akan terus beroperasi selama dua minggu untuk memastikan kestabilan pemandu Uber yang sedang beralih ke Grab manakala, Uber Eats akan beroperasi sehingga akhir Mei di mana selepas itu rakan restoran dan penghantarannya akan berpindah ke GrabFood.   

Berita Harian X