Rabu, 21 March 2018 | 6:54pm
Gambar kecil, Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan Kewangan Koporatnya, Vikas Halan.

Penubuhan Petros buka pasaran minyak dan gas tempatan

KUALA LUMPUR: Penubuhan syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan terus membuka pasaran minyak dan gas tempatan serta berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam segmen berkenaan, demikian menurut Moody's Investment Service Inc (Moody's).

Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan Kewangan Koporatnya, Vikas Halan, berkata adalah masih terlalu awal untuk mengatakan ada terdapat atau tidak impak ke atas output PETRONAS di Sarawak, namun apa yang dilihat penubuhan Petronas sudah pasti akan membuka lagi pasaran minyak dan gas tempatan.

"Ia perkembangan yang baik kerana dengan membuka lebih meluas pasaran minyak dan gas, potensi untuk menarik FDI lebih tinggi ke dalam segmen minyak dan gas juga berlaku," katanya pada taklimat meja bulat 'Moodys' Inside Asean: Spotlight on Malaysia' di sini, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan Petros sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman kepada PETRONAS, atau dividen yang dibayar oleh firma minyak dan gas negara itu kepada kerajaan.

"Terdapat banyak negara lain yang mengendalikan pelbagai syarikat minyak dan gas seperti India dan China, yang masing-masing mempunyai antara dua hingga tiga syarikat. Persaingan adalah bagus kerana ia membolehkan firma ini berdaya saing dan berusaha.

"Dari segi bayaran dividen kepada kerajaan, masih terlalu awal untuk menjelaskannya, namun apa yang kami perhatikan sebelum ini adalah kerajaan menunjukkan daya tahan yang hebat pada 2015 dan 2016 apabila bayaran dividen jatuh ke paras RM16 bilion daripada RM30 bilion.

"Jika PETRONAS menyaksikan keuntungannya terjejas oleh Petros, saya pasti kerajaan akan mempamerkan daya tahannya juga," katanya.

Mengulas lanjut, Vikas berkata setakat ini, PETRONAS masih memiliki hak eksklusif penerokaan di Sarawak oleh kerajaan persekutuan, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

"Tidak terdapat perubahan dalam akta ini dan ada juga kemungkinan walaupun Petronas sudah memulakan usaha penerokaan, ia tidak akan mengganggu output sedia ada PETRONAS. Apa yang kami jangka berlaku adalah PETRONAS akan mengekalkan aktiviti huluan sedia ada dan keuntungannya, manakala Petros bebas meneroka dan menyimpan keuntungannya," katanya.

Vikas berkata, buat masa sekarang, anggapan rasmi Moody's adalah tiada perubahan ke atas akta berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sebelum ini berkata Petros akan memulakan aktiviti penerokaannya di Miri pada Julai ini.

Moody's menjangkakan harga minyak akan berada antara AS$45 dan AS$65 satu tong buat masa ini hingga 2019.

Ia tidak menjangkakan permintaan akan berkurangan di sebalik pelbagai kebimbangan berhubung alam sekitar.

"Dari segi tinjauan global, kami menjangkakan Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang lebih tinggi pertumbuhan pengeluaran berbanding permintaan pada 2018 dan 2019.

"Bagaimanapun, Asia akan merangkumi hampir keseluruhan peningkatan permintaan, di sebalik kebimbangan berhubung alam sekitar," katanya.

58 dibaca
Berita Harian X