Isnin, 12 March 2018 | 4:59pm

SME Bank lulus pembiayaan RM28b

MELAKA: SME Bank meluluskan pembiayaan berjumlah lebih RM28 bilion sejak penubuhannya pada tahun 2005 hingga Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Perbankan SME Bank, Datuk Kamaluddin Ismail, berkata pembiayaan itu memanfaatkan 16,000 pelanggan.

Beliau berkata, tahun lalu, seramai 1,947 usahawan yang menyertai Program Engagement 2017, menerima pembiayaan berjumlah RM570 juta.

"Tahun ini, kita menyasarkan pembiayaan sebanyak RM741 juta menerusi Program Engagement 2018. Hari ini, enam usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Melaka, menerima pembiayaan berjumlah RM13.63 juta menerusi program berkenaan.

"Pembiayaan ini menyelesaikan masalah mereka yang sukar mendapat bantuan kewangan sebelum ini," katanya ketika berucap pada Program Engagement bersama pelanggan Pusat Wilayah Selatan SME Bank di Hotel Holiday Inn, di sini, hari ini.

Surat kelulusan pembiayaan kepada enam usahawan PKS itu diserahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong.

Kamaluddin berkata, SME Bank merancang untuk mengadakan 14 Program Engagement bersama pelanggan di seluruh negara, bagi membantu menangani masalah pembiayaan yang dihadapi mereka.

Melaka adalah destinasi kelima program terbabit, selepas Selangor, Sabah, Sarawak dan Kedah.

Beliau berkata, pihaknya turut melancarkan MySMEBank, iaitu aplikasi atas talian bagi memudahkan usahawan memohon pembiayaan melalui proses digital sepenuhnya, yang boleh diintegrasikan dengan aplikasi 'Book Your Banker'.

Berita Harian X