Isnin, 12 March 2018 | 4:41pm

Digi perkenal terminal pembayaran mudah alih

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan terminal pembayaran mudah alih dalam usaha mendigitalkan operasinya.

Peranti berkenaan membolehkan perniagaan menerima pembayaran berasaskan kad untuk produk dan perkhidmatan tanpa memerlukannya dihubungkan ke talian telefon fizikal.

Ketua Pegawai Perniagaan Digi (CBO), Eugene Teh, berkata landskap pelanggan menjadi bertambah digital dan perniagaan perlu menyesuaikan keadaan dengan perubahan itu.

"Oleh kerana lebih ramai memilih transaksi tanpa tunai, perniagaan perlu meletakkan diri mereka bagi memanfaatkan sepenuhnya perubahan ini. Pembayaran tanpa tunai hari ini adalah cepat, selamat dan sangat mudah, sudah tiba masanya sebelum penggunaan kad pembayaran dan e-dompet mendahului," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terminal pembayaran mudah alih membolehkan perniagaan menerima pembayaran kad kredit dan debit dengan selamat pada bila-bila masa di mana sahaja. Peranti ini juga tidak memerlukan sambungan "Bluetooth", sekali gus mengurangkan penggunaan bateri.

Teh berkata, Digi ingin membantu perniagaan melangkah ke dunia digital dan penyelesaian digital ini perlu dimanfaatkan oleh semua perniagaan.

Penyelesaian terminal pembayaran mudah alih itu hasil kerjasama dengan bank utama, CIMB.

"Kami menjangkakan kerjasama seperti ini dengan pihak lain," katanya.

Dengan perluasan rangkaian 4G Plus Digi, ia bermakna terminal mudah alih ini boleh digunakan di seluruh Malaysia.

Maklumat lanjut, boleh melayari Digi.my/Business.

 

17 dibaca
Berita Harian X