Khamis, 8 March 2018 | 2:57pm

Top Glove pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar dunia

KUALA LUMPUR: Top Glove Corp Bhd, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, hari ini mendapat persetujuan pemegang saham untuk meneruskan cadangan pengambilalihan pengeluar sarung tangan Aspion Sdn Bhd membabitkan pertimbangan tunai RM1.37 bilion.

Top Glove dalam satu kenyataan berkata, ini akan membuka laluan kepada syarikat itu menjadi pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar dunia.

Kelulusan pemegang saham itu diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat di Shah Alam.

Top Glove memeterai perjanjian pembelian saham dengan Adventa Capital bagi mengambilalih Aspion pada awal Januari lalu, membabitkan pertimbangan tunai RM1.37 bilion.

Aspion adalah pengeluar sarung tangan pembedahan utama global.

Cadangan pengambilalihan itu selari strategi Top Glove untuk mengembangkan perniagaan secara berkesan dan berdaya tahan.

Daripada pertimbangan RM1.37 bilion itu, RM1.233 bilion akan dibayar secara tunai, dengan baki akan dilunaskan menerusi penerbitan 20.51 juta saham baharu Top Glove, kata kenyataan itu.

"Pengambilalihan Aspion adalah pengambilalihan dan penggabungan (M&A) terbesar kami setakat ini.

"Bagaimanapun, ini hanyalah permulaan," kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Berita Harian X