Khamis, 15 Februari 2018 | 6:32pm
SUHAIMI Badrul. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

THHE komited kurang kos pinjaman

KUALA LUMPUR: TH Heavy Engineering Bhd (THHE), syarikat 29.8 peratus milik Lembaga Tabung Haji, mampu mengurangkan kos pinjamannya daripada lebih RM900 juta kepada RM65 juta selepas penjualan aset yang tidak digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Badrul Jamil, berkata langkah itu apabila dimuktamadkan, akan dapat meningkatkan hasil kira-kira RM12 juta untuk digunakan bagi menjelaskan hutangnya yang masih ada.

Katanya, THHE merancang untuk tidak terbabit daripada aktiviti fabrikasi minyak dan gas, seterusnya memberi tumpuan kepada pasaran di luar negara.

"Kami mendapati sektor fabrikasi dalam perniagaan minyak dan gas sangat kompetitif dan merancang untuk tidak terbabit dalam aktiviti ini di pasaran domestik, sebaliknya beralih ke India dan Asia Barat.

"Buat masa ini, tumpuan kami adalah pembinaan dan pembaikan kapal, penyelenggaraan dan fabrikasi di pasaran luar negara," katanya kepada media selepas mesyuarat agung luar biasa THHE di sini, hari ini.

THHE yang juga syarikat PN17 semalam menerima kelulusan pemegang saham untuk memindahkan projek penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) yang dianugerahkan oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Ltd kepada Yinson Holdings Bhd.

Novasi kontrak itu adalah sebahagian daripada skim penyusunan kumpulan dengan pemiutang bagi menguruskan keadaan kewangan syarikat.

THHE dikelaskan sebagai PN17 pada 28 April tahun lalu.

Suhaimi berkata, anak syarikatnya menerima beberapa cadangan bagi usaha sama dalam perniagaan berkaitan kejuruteraan, namun ia masih di peringkat awal.

"Perniagaan pembinaan dan pembaikan kapal kami dijangka menjadi perniagaan utama membabitkan lebih 50 peratus mulai tahun depan.

"Dengan pengurangan hutang, kami berharap mengurangkan bebanan pada masa depan.

"Pemegang saham memberi sokongan sepenuhnya. Jadi, fasa berikutnya adalah penyelesaian proses pengawalseliaan yang membabitkan terbitan saham baharu tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia," katanya.

Baru-baru ini, THHE berkata ia menerima tunai RM374 juta sebagai proses novasi perjanjian dengan kira-kira RM352.8 juta diperuntukkan sebagai bayaran untuk peminjam skim.

Syarikat itu memiliki kira-kira tiga bulan untuk mengemukakan pelan kawal selia kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kelulusan unit fabrikasi THHE iaitu THHE Fabricators Sdn Bhd (Tfab) yang disenarai hitam oleh Petroliam Nasional Bhd pada April 2016 daripada menjadi kontraktor utama kerja-kerja fabrikasi.

THHE ketika ini terbabit dalam pembinaan tiga kapal peronda luar pesisir (OPV) bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui usaha samanya dengan Destini Bhd.

THHE yang memiliki 49 peratus kepentingan dalam THHE Destini Sdn Bhd, menerima kontrak OPV bernilai RM738.9 juta daripada MMEA.

Berita Harian X