Isnin, 5 Februari 2018 | 9:34pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDHB, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah. - Foto Hafiz Sohaimi

Serba Dinamik beli saham anak syarikat Maju Holdings

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Group Bhd, anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Maju Holdings Sdn Bhd bagi mengambil alih 40 peratus pegangan ekuiti dalam Maju Renewable Energy Sdn Bhd, Maju RE (Talang) Sdn Bhd dan Maju RE (Temenggor) Sdn Bhd bernilai RM24.85 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDHB, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, ketika ini Maju memiliki 70 peratus modal saham berbayar dalam setiap syarikat itu dan baki 30 peratus dipegang oleh Perak Hydro Renewable Energy Corp Sdn Bhd.

"Cadangan jualan itu adalah seiring dengan pengembangan perniagaan kami melalui pelaburan dan pengambilalihan syarikat penjanaan tenaga hidro kecil sebagaimana ditetapkan dalam prospektus kami.

"Pertimbangan pembelian akan dijelaskan keseluruhannya dalam tunai yang dibiayai melalui hasil tawaran awam awal SDHB," katanya.

Menurutnya, anak syarikat milik penuh syarikat terbabit telah diberi kelulusan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia untuk membangunkan stesen tenaga hidro dengan kapasiti menjana 60 megawatt (MW).

Anak syarikat terbabit juga telah memeterai perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui dengan Tenaga Nasional Bhd berkaitan bekalan tenaga boleh diperbaharui yang dijana oleh stesen tenaga ke grid tenaga negara, katanya.

Mohd Abdul Karim berkata, stesen tenaga itu akan dibangunkan di Rizab Hutan Simpan Temenggor dan Belum di Perak, di mana sebuah stesen tenaga hidro 27-MW akan dbina di Singgor; Talang (stesen 19-MW) dan Temenggor (stesen 14-MW).

"Kami menjangka MoA ini akan membuka peluang kepada syarikat ini untuk diberikan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan untuk stesen tenaga pada asas turnkey yang bernilai kira-kira RM560 juta," katanya.

-BERNAMA

33 dibaca
Berita Harian X