Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:40pm

Grab, Samsung jalin kerjasama mudahkan isu pengangkutan Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Grab, penyedia perkhidmatan pengangkutan e-panggilan dan platform pembayaran mudah alih di Asia Tenggara, dan Samsung Electronics menjalin kerjasama menerusi memorandum persefahaman untuk memacu kemasukan digital di rantau ini.

Grab dan Samsung akan bekerjasama dalam pelbagai inisiatif untuk membawa faedah teknologi ke arah meningkatkan pengalaman pelanggan dan peluang pendapatan bagi pengguna Samsung dan Grab di rantau ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagi mengumumkan kerjasama itu.

Berdasarkan anggaran dalaman Grab, syarikat itu adalah antara penyedia perkhidmatan internet yang berkembang pesat di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik yang luas, Grab dan Samsung akan membangunkan penyelesaian khusus untuk industri pengangkutan membawa penumpang, termasuk skim pembiayaan mikro kepada lebih 2.3 juta rakan kongsi pemandu Grab, tempahan pelanggan yang lebih baik dan pengalaman dalam kereta, serta penyelesaian mobiliti baru.

Kedua-dua syarikat itu juga akan bekerjasama untuk mengembangkan ekosistem pembayaran mudah alih yang berpecah di Asia Tenggara dan menyediakan penyelesaian pembayaran mudah alih untuk pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Grab, Anthony Tan berkata, Asia Tenggara adalah pasaran baru yang berkembang pesat di dunia, namun ada bandar-bandar kecil dan bandar raya yang tidak mempunyai akses mudah kepada ekonomi digital yang semakin meningkat.

"Teknologi mudah alih boleh menghubungkan jurang infrastruktur dan menjadikan pertumbuhan ekonomi lebih inklusif.

"Samsung adalah antara syarikat teknologi yang paling inovatif di dunia, dan kami sangat gembira untuk bekerjasama dengan mereka bagi memperkasakan lebih banyak orang di Asia Tenggara untuk memperbaiki mata pencarian mereka dan menyediakan lebih banyak perkhidmatan digital untuk semua orang di platform Grab," katanya.

Presiden dan CEO Samsung Electronics, Asia Tenggara & Oceania, Sangchul Lee berkata, pihaknya percaya dalam Internet of Things (IoT), pelbagai manfaat yang dibawa melalui sambungan secara digital dan teruja menjalin pakatan dengan Grab untuk menyediakan pengguna dengan keperluan harian mereka.

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat meneroka bagaimana dapat bekerjasama untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan besar ekonomi digital Asia Tenggara," katanya.

Kerjasama itu akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara di Asia Tenggara yang Grab beroperasi.

Dalam fasa pertama, Grab dan Samsung menawarkan pembiayaan mikro peranti mudah alih untuk pemandu, peningkatan pengalaman pelanggan di GrabKiosks dan GrabBooths, serta perkhidmatan Infotainment dalam kereta tertentu.

Garb kini menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. --BERNAMA

Berita Harian X